'Ayah pesan jangan tinggal al-Quran'

Iklan
Orang ramai menunggu giliran untuk menziarahi Allahyarham Paksu Mid di rumahnya Di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang pada malam Jumaat.

PADANG TERAP - Allahyarham Tuan Guru Abdul Hamid Ismail atau Pak Su Mid Kuala Pai, 96, sering mengingatkan orang ramai termasuk ahli keluarganya agar tidak meninggalkan al-Quran sebagai pegangan hidup.

Anak kedua Allahyarham, Pirdaus Abdul Hamid, 41, berkata, Allahyarham sentiasa menerima kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin negara sehinggalah rakyat marhein untuk mendapatkan nasihat.

Iklan
Iklan

"Ramai tetamu yang ziarah ayah, dia selalu bagi nasihat. (Nasihat) yang paling banyak sekali amalan dalam al-Quran. Orang (mereka datang) akan bawa al-Quran, dia akan bagi amalan al-Quran, mereka akan catat amalan.

"Untuk anak-anak nasihat dia al-Quran lah kalau siapa pun datang dia akan pesan al-Quran jangan tinggal.

Iklan

"Dia (pak su mid) sakit pun walaupun tak boleh baca al-Quran, kita pasang rakaman dan dia akan dengar," katanya semasa ditemui pemberita rumahnya di Kampung Kuala Pai pada malam Jumaat.

Pirdaus Abdul Hamid

Pada Jumaat, media melaporkan ulama terkenal Kedah, Tuan Guru Abdul Hamid Ismail atau Pak Su Mid Kuala Pai, 96 meninggal dunia pada jam 6.30 petang pada Jumaat di Putra Medical Centre (PMC), dekat sini dipercayai akibat sakit tua.

Iklan

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam hantaran Facebooknya berkongsi berita tersebut yang menyifatkan Kedah kehilangan seorang permata.

Jelas Pirdaus, Allahyarham bapanya sebelum ini sering mendapatkan rawatan di hospital namun kesihatannya semakin merosot sejak tiga minggu lalu.

"Bapa memang sudah bagi isyarat tidak mahu ke hospital sejak tiga minggu lalu, namun kami ahli keluarga ikhtiar juga untuk menghantar ke hospital namun sudah tiba masanya, kami terima," ujar beliau lagi.

Tambahnya, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ayer Hitam, Jerlun pada jam 10 pagi pada Sabtu.

Sementara itu, penyandang Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan negara kehilangan seorang ulama yang sentiasa menjadi rujukan orang ramai untuk mendapatkan.

"Kehilangan seorang ulama yang tersohor bukan sahaja di kedah malah ulama di peringkat nasional, syeikh Abdul Hamid atau dikenali di daerah Padang Terap ini sebagai Paksu Mid telah kembali ke rahmatullah, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Paksu Mid," katanya selepas menziarahi allahyarham.

Allahyarham Paksu Mid meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat, 60an, tiga anak bersama 10 orang cucu.