SKUAD The Speedy Tigers menyifatkan kejayaan menjuarai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 kali pertama sebagai hadiah kepada para pemain ke-12 terutama yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan negara.
Pakar pukulan sudut penalti skuad hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim berkata, kehadiran ekor Speedy Tigers itu menyuntik motivasi pemain untuk memberikan tentangan sengit kepada Korea Selatan.
"Kemenangan ini saya dedikasikan khasnya buat peminat yang sanggup datang untuk menyokong kami para pemain biarpun dalam keadaan hujan lebat.
"Sejujurnya kami pemain amat terharu apabila para penyokong tidak berganjak dari tempat duduk penonton untuk terus memberikan sokongan.
"Chant para penyokong ini sebenarnya yang membarakan semangat pemain negara untuk bermain bermatian-matian menentang Korea Selatan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Untuk rekod, ini merupakan penampilan kali ke-11 Muhammad Razie dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah sejak 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2015, 2016, 2019 dan 2022.
Sebagai pemain lebih senior, Muhammad Razie mengakui berpuas hati kejayaan merangkul kejuaraan itu buat pertama kali yang disertakan prestasi baik ditunjukkan setiap pemain pada kali ini.
"Setiap pemain faham dan mengambil tanggungjawab bagi memastikan target pasukan berjaya. Malah ianya lebih manis bagi diri saya kerana game semalam (Khamis) merupakan penampilan ke-301 saya sekali gus memberi motivasi untuk saya bekerja lebih keras bagi membantu pasukan,” katanya.
Muhammad Razie yang merupakan pemain terbaik dan penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol, antara watak penting membantu negara menjulang Piala Sultan Azlan Shah pada Khamis.
Pada aksi final di Stadium Azlan Shah itu, Speedy Tigers menewaskan juara Piala Asia, Korea Selatan 3-2 yang menjinakkan pasukan negara 1-2 pada final di Jakarta, Mei lalu.
Pada perlawanan itu, gol anak buah Arul Selvaraj dijaringkan Shello Silverius minit ke-15, Muhammad Razie (45’) Muhammad Aminuddin Mohd Zain (48’), manakala jaringan Korea Selatan dihasilkan Jang Jonghyun (16’) dan Jeon Byungjin (58’).
Untuk rekod, skuad negara memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tumpas kepada Korea Selatan 0-3 sebelum diikat 1-1 Pakistan.
Bagaimanapun pada aksi ketiga, Speedy Tigers bangkit menjinakkan Mesir 4-1 diikuti membelasah Afrika Selatan, 7-2 sebelum menumpaskan Jepun 4-2 untuk layak ke final berdepan Korea Selatan dalam kejohanan liga sepusingan itu.
Kejayaan mengatasi Korea Selatan itu juga mengakhiri penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir mara ke perlawanan akhir pada 2014 sebelum ditewaskan Australia 8-3.
Muhammad Razie juga menghadiahkan kejuaraan ini kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Beliau menyifatkan ketiga-tiga entiti tersebut merupakan tunjang yang membolehkan kejuaraan diraih pada edisi 2022.
"Selain itu, terima kasih juga kepada anggota keluarga pemain Speedy Tigers yang sentiasa menyokong dan banyak berkorban selama ini kerana memahami pengorbanan yang dilakukan kami adalah demi Malaysia.
"Juga terima kasih kepada para pemain sebenarnya kerana kejayaan merangkul Piala Sultan Azlan Shah 2022 ini juga hasil kerja keras pemain yang berusaha meningkatkan potensi diri dalam setiap perlawanan.
"Pendekatan dipraktikkan jurulatih Arul Selvaraj dalam membina semula kekuatan pasukan secara berterusan juga telah banyak mengubah pasukan ini sehingga berjaya merangkul kejuaraan kali ini,” kata pemain berusia 35 tahun tersebut.