PRU15 permulaan baik buat Undi18

Iklan
Liyana Marzuki

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menjadi permulaan baik bagi menguji keupayaan Undi18 menjadi 'King Maker' sekali gus bakal mewarnai landskap politik negara pada masa hadapan.

Pemerhati dan aktivis politik, Liyana Marzuki berkata, kebanyakan penganalisis politik masih tidak boleh menjangkakan dengan tepat kecenderungan anak muda memilih pada PRU15, namun kuasa golongan tersebut adalah signifikan berdasarkan memiliki jumlah pengundi yang agak besar.

Iklan
Iklan

Katanya, sebanyak 6.2 juta penambahan pengundi baharu pada PRU15, manakala mereka berusia 18 hingga 21 tahun yang merupakan pemilih adalah melebihi sejuta dan pengundi berumur 21 tahun kira-kira 21 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.

"Menjadi satu sejarah buat PRU15 apabila buat pertama kali umur pemilih di negara ini direndahkan kepada 18 tahun.

Iklan

"Apa yang uniknya, kita hendak tengok pemilih daripada kumpulan anak muda yang berumur 39 tahun ke bawah ini. Adakah mereka benar-benar boleh menjadi King Maker?

"Selain itu, kita juga hendak melihat adakah mereka akan keluar mengundi untuk menentukan masa depan negara atau mereka sudah bosan atau mengalami politik lesu yang langsung tidak menghiraukan pilihan raya," katanya ketika menjadi tetamu program Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk 'Cakap Serupa Bikin' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Rancangan itu dihoskan oleh Sam Ghani.

**media[1979341]*

Dalam pada itu, Liyana berkata, politik lesu dalam kalangan Undi18 merupakan satu yang tidak baik dan boleh mengundang permasalahan kepada negara.

Menurutnya, tanpa keterujaan dan penglibatan anak muda dalam dunia politik kerana faktor lesu serta bosan, maka pastinya negara tidak boleh bergerak dan berdaya maju ke hadapan.

Jelasnya, menerusi penglibatan dalam dunia politik, anak muda bakal mencorak pentadbiran dan masa depan negara yang jauh lebih baik.

"Pastinya ramai yang menantikan reaksi daripada anak muda Undi-18 pada pertengahan November ini untuk mengetahui bagaimana corak pemilihan dan kematangan pemikiran mereka membentuk landskap politik negara.

"Saya tidak ada fakta dan data untuk menyatakan pengundi muda Undi-18 tidak matang kecuali kita akan lihat pada hari pengundian nanti iaitu bagaimana corak pemilihan dan siapa yang dipilih," katanya.

Tambahnya, ramai yang menyatakan umur pemilih diturunkan kepada 18 tahun adalah tidak sesuai kerana mereka masih tidak matang tentang selok belok politik negara.

Namun begitu tegasnya, kematangan politik tidak bergantung kepada umur, sebaliknya ia lebih menjurus kepada ilmu, minat serta kebijaksanaan seseorang individu.

"Hendak kata mereka tidak matang, saya tidak berapa setuju kerana kalau di negara luar, umur 18 tahun itu memang satu umur yang sesuai keluar mengundi.

"Cuma apa yang perlu diperbaiki adalah ilmu politik, ilmu kepimpinan serta ilmu kenegaraan. Hanya perkara-perkara ini yang masih kurang pada anak muda.

"Bagi saya, PRU15 adalah satu permulaan awal yang bagus untuk Undi18. Namun selepas ini, kerajaan perlu berusaha meningkatkan ilmu politik kepada golongan tersebut membina politik matang termasuk kematangan pengundi yang tidak lagi totok dengan parti, maka negara akan menjadi lebih baik," katanya.