SIPITANG - Lebih 2,000 penduduk di beberapa kampung membabitkan kawasan Long Pasia amat dahagakan kemudahan infrastruktur terutama akses jalan raya yang sempurna di sepanjang laluan sejauh lebih 130 kilometer dari Pekan Sipitang.
Jalan tersebut hanya boleh dilalui menggunakan pacuan empat roda dan memakan masa sehingga tujuh jam perjalanan.
Penduduk kampung juga terpaksa meredah laluan mencabar iaitu tanah merah, lumpur serta berbatu selain terpaksa merentas Sungai Maligan dan beberapa anak sungai untuk ke Pekan Sipitang.
Akses jalan raya yang teruk menyebabkan penduduk yang kebanyakannya petani sukar memasarkan hasil tanaman di Pekan Sipitang.
Menurut penduduk Long Pasia, Makfry Balang, 38, antara harapan yang harus direalisasikan oleh kerajaan adalah dengan membina jalan yang lebih baik untuk penduduk di kampung berkenaan.
"Tidak perlulah dari Kampung Maligan ke Long Pasia, cukup untuk sementara waktu dari kampung jiran kita iaitu Kampung Long Mio sehingga ke Long Pasia sejauh empat kilometer pun sudah memadai. Tidak pun dapat diturap, cukuplah dinaik taraf kepada jalan konkrit pun kami sudah bersyukur," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Long Pasia di sini, pada Jumaat.
Makfry berkata, penduduk sudah lama dijanjikan mengenai jalan raya berkenaan namun berlaku beberapa kekangan termasuk tanah jalan raya itu sebenarnya dimiliki oleh Sabah Forest Industries (SFI).
"Memang ada kekangan tetapi diharap kerajaan dapat mengambil alih tanah berkenaan untuk jalan itu dinaik taraf," katanya.
Penduduk Kampung Long Mio, Irni Nuar, 40, berkata, keadaan jalan yang kurang sempurna menyebabkan mereka sukar untuk memasarkan hasil pertanian ke Pekan Sipitang untuk dijual di pasar atau pasar minggu.
"Kos untuk ke Pekan Sipitang tinggi iaitu RM50 untuk perjalanan pergi saja dan mencecah sehingga RM100 bagi penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.
"Bagi yang mempunyai kenderaan sendiri juga terpaksa menanggung kos selanggaraan yang tinggi jika kerap turun untuk memasarkan hasil pertanian seperti cili padi dan tanaman sayur-sayuran yang lain.
"Jadi jalan raya harus diperbaiki sebab ini akses yang paling utama bagi memudahkan penduduk kampung berniaga," katanya.
Bagi Buas Sia, 70, disebabkan jalan raya yang tidak sempurna dia yang sering berulang-alik untuk menghadiri janji temu di hospital terpaksa mengambil perkhidmatan kereta sewa lebih awal dari tarikh pemeriksaan kesihatan.
"Mahu pergi ke pekan susah, sepanjang enam tahun ini saya sering berulang-alik untuk pemeriksaan kesihatan di hospital di Kota Kinabalu.
"Jadi saya terpaksa menyewa kenderaan yang kosnya terlalu tinggi untuk kami penduduk kampung," katanya yang menetap di Kampung Long Pasia.
Sementara itu, calon Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, isu jalan raya di Long Pasia antara perkara yang akan dibangkitkan di Parlimen jika beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen di kawasan berkenaan.
"Saya lihat fokus utama di kawasan ini adalah jalan raya. Jalan ini adalah keutamaan dan jika diizinkan saya sebagai Ahli Parlimen nanti, isu jalan adalah perkara pertama saya bawa ke Parlimen untuk kita minta kepada kerajaan supaya ia dapat diselesaikan.
"Kerana penduduk sudah lama menunggu jalan ini siap kerana di kawasan Long Pasia ini banyak khazanah yang boleh dipromosikan kepada pelancong dan sebagainya," katanya.