KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tiga maut selepas kereta jenis Perodua Kancil dinaiki terbabas di Kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Maran pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dewasa.
Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan cedera dalam kemalangan yang dilaporkan jam.8.10 pagi itu.
"Susulan kemalangan itu, lapan anggota termasuk pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran ke lokasi untuk bantuan menyelamat.
"Pihak bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ismail berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar menerima rawatan ke hospital terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, dalam kejadian itu pemandu kereta, Siti Fatimah Yusry, 20, beralamat di Kampung Melayu, Kulai, Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Turut maut, abangnya, Ahmad Basyir, 27, dan adiknya yang juga pelajar tahfiz, Saiedah, 15, manakala seorang lagi adik mereka, Adawiyah,11, cedera parah di kepala menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki empat beradik itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Jerantut.
"Keluarga ini dipercayai dari Johor Bahru dan menuju ke Jerantut untuk ambil salah seorang adik mereka.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kereta dipandu sebelum terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di sebelah kiri.
"Akibat kejadian, pemandu dan dua penumpang mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Norzamri berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jengka di sini untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke HoSHAS untuk menerima rawatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.