GEORGETOWN - Tiada siapa yang mengetahui syurga neraka dengan lebih mendalam melainkan ALLAH SWT.
Itu kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi BN dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk neraka.
Menurutnya, tidak harus dikatakan bahawa seseorang itu akan dimasukkan ke neraka melainkan bagi seseorang yang disebut secara jelas di dalam nas Al-Quran atau hadis seperti Firaun dan Abu Lahab.
"Ini kerana, kita tidak tahu secara pasti apa yang terkandung di dalam hatinya sama ada iman atau kufur.
"Yang kedua, kita tidak tahu apa akan berlaku terhadap seseorang pada penghujung hayatnya di dunia ini. Kemungkinan seorang kafir pada masa kini akan mengakhiri kehidupannya di dalam keimanan, begitu juga sebaliknya. Dalam erti kata lain, kesudahan nasib setiap manusia terletak di tangan ALLAH SWT.
"ALLAH boleh membolak balik hati manusia mengikut kehendak dan hikmah-Nya. Oleh itu, tiada siapa yang berhak mengatakan secara pasti bahawa seseorang itu akan masuk neraka kecuali ada ayat al-Quran atau hadis yang menentukannya, walaupun ke atas seorang kafir, apatah lagi bagi seorang Muslim," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau turut menasihati semua pihak agar berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan mengenai hal-hal yang berkait dengan kesudahan nasib seseorang.
"Nasib seseorang itu, hanya ALLAH SWT yang tahu. Kita tidak tahu pengakhiran hidup seseorang itu. Bagaimanapun, hanya orang yang degil di dalam kekufuran dan yang mensyirikkan sesuatu dengan Allah sahaja yang akan kekal di dalam neraka.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan Mohd Shahiful dalam ceramah kempennya mengeluarkan hukum sesiapa mengundi BN dan PH akan masuk neraka.
Selepas menerima kritikan daripada pelbagai pihak susulan penyebaran video berdurasi 28 saat itu, Mohd Shahiful dalam satu kenyataan, memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu 'undi BN dan PH masuk neraka'.
Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video disiarkan di Facebook Pemuda Pas Sik dan beliau turut memohon dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan persaingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam pada itu, Wan Salim berkata, tindakan mengkafirkan seorang Muslim dengan sewenang-wenang adalah satu isu yang amat serius dan perlu dihindari.
Perbuatan itu merupakan sejenis pencerobohan ke atas kehormatan seorang Muslim yang dilarang dalam syariat Islam kerana akan memberi kesan buruk dalam memecahbelahkan masyarakat Islam selain menimbulkan suasana huru-hara dalam negara.
Menurutnya, seorang Muslim tidak boleh dianggap terbatal Islamnya melainkan jika melakukan apa-apa perbuatan atau menuturkan perkataan yang jelas kufur atau syirik seperti sujud kepada berhala atau mengatakan ada Tuhan selain ALLAH SWT.
"Seseorang itu menjadi Muslim apabila dia berikrar bersaksikan dua kalimah syahadah yang bererti dia membenarkan dan mengaku tentang ketauhidan ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Rasulnya.
"Perlu ditegaskan bahawa perbezaan pandangan dan pendirian mengenai sesuatu isu agama, politik atau apa juga urusan di dalam kehidupan ini, adalah hal yang biasa bagi tabiat manusia. Perbezaan-perbezaan ini tidak sepatutnya diselesaikan dengan tindakan kafir-mengkafir, sebaliknya dirawat menerusi dialog dan perbincangan yang tenang dan saling bertolak ansur antara satu sama lain.
"Menjelang pilihan raya ini, kita amat mengharapkan para pemimpin bagi semua parti politik di negara ini dan penyokong mereka dapat berkempen dengan cara yang sopan tanpa mencerca dan memaki hamun antara satu sama lain. Kita perlu berdoa semoga ALLAH SWT memelihara akidah umat Islam dan memelihara Malaysia dan semua rakyat," katanya.