JERLUN - Jenazah ulama terkenal Kedah, Allahyarham Tuan Guru Abdul Hamid Ismail atau Pak Su Mid Kuala Pai, 96, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najjah Ayer Hitam pada jam 12 tengah hari pada Sabtu.
Lebih 3,000 orang memenuhi kawasan tanah perkuburan tersebut untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Sebelum itu jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid An-Najjah pada jam 11.15 pagi.
Antara pemimpin yang kelihatan hadir memberikan penghormatan adalah pemimpin tempatan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, penyandang Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.
Media melaporkan Allahyarham meninggal dunia pada jam 6.30 petang pada Jumaat di Putra Medical Centre (PMC), Alor Setar dipercayai akibat sakit tua.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam hantaran Facebooknya berkongsi berita tersebut yang menyifatkan Kedah kehilangan seorang permata.
Antara kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh tokoh ulama ini adalah mengingatkan orang ramai termasuk keluarganya agar tidak meninggalkan al-Quran sebagai pegangan hidup.
Allahyarham Paksu Mid meninggalkan seorang balu, Inche Ollah Arshat, 60an, tiga anak bersama 10 orang cucu.