KEMAMAN - Penduduk di kawasan perumahan mampu milik di Kampung Teluk Kalong, Kemaman menggesa pihak berwajib menyelesaikan segera projek tebatan banjir seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Saban tahun, lebih 300 keluarga di kawasan terbabit berdepan masalah banjir setiap kali tiba musim tengkujuh.
Wakil penduduk, Suriani Zakaria, 43, berkata, mereka kecewa dengan janji-janji ditabur oleh pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang sudah berlanjutan sejak tujuh tahun lalu.
Menurutnya, tiada siapa sanggup berhadapan dengan situasi yang menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian besar akibat kerosakan harta benda setiap kali banjir melanda.
"Habis semua barang rosak dan jika tiba musim hujan memang kami tidak lena tidur," katanya.
Seorang lagi penduduk, Ruzilawati Mohammad, 38, berkata, janji hanya tinggal janji membuatkan mereka semakin tertekan dengan masalah yang tiada penghujungnya.
Salah seorang penduduk mula mengemas barang-barang di dalam rumah memandangkan air mulai masuk ke dalam rumah susulan hujan lebat berterusan.