Sakit jantung tak kenal mangsa

Iklan
Dr Nor Izham (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai imbasan 3D yang terdapat di Pantai Hospital Ayer Keroh.

MELAKA - Serangan jantung mampu menyerang sesiapa sahaja terutama mereka yang kurang menitikberatkan cara pemakanan sihat, sama ada tanpa disedari atau sebaliknya.

Maka tidak hairanlah sekiranya penyakit jantung koronari dianggap sebagai 'pembunuh senyap' atau musuh nombor satu rakyat negara ini.

Iklan
Iklan

Pakar Jantung Pantai Hospital Ayer Keroh (PHAK), Datuk Dr Nor Izham Aziz berkata, sering kali pesakit jantung mengadu mengalami sakit di bahagian dada ketika sedang melakukan aktiviti bersukan atau bekerja dan terdapat juga serangan secara mengejut tanpa pesakit melakukan sebarang aktiviti.

Menurutnya, walaupun mungkin aktiviti yang dilakukan hanya secara minimum, namun akan membuatkan seseorang itu mudah letih lebih dari biasa selain turut mengalami ciri-ciri seperti rasa berdebar-debar.

Iklan

"Rasa berdebar-debar yang dialami boleh berlaku ketika berehat atau ketika melakukan aktiviti ringan dan ada juga kes yang mana mereka mengalami secara serentak sakit dada, sesak nafas dan rasa berdebar.

"Ia juga boleh menyebabkan pesakit itu pengsan atau tidak sedarkan diri hingga berlaku serangan sawan yang berkemungkinan seseorang mengalami situasi tekanan darah terlalu rendah," katanya.

Iklan

Katanya, sakit kronik terbabit tidak terbatas kepada simptom itu sahaja, malah ada juga menyangka diri mereka gastrik kerana mengalami beberapa keadaan seperti badan berpeluh-peluh, muntah dan sakit di bahagian perut sedangkan besar kemungkinan dia adalah penghidap sakit jantung.

"Kita dapati 20 peratus pesakit jantung tidak mengalami ciri-ciri yang saya sebutkan namun secara tiba-tiba meninggal dunia termasuk ketika dalam tidur yang kita panggil sebagai mati mengejut.

"Kerana itu kita di PHAK sering mengadakan pendidikan dan penerangan kepada masyarakat supaya dapat meningkatkan kesedaran dan mementingkan penjagaan kesihatan, seterusnya mengambil langkah-langkah pencegahan," katanya.

Dua kumpulan berisiko

Terdapat dua kumpulan berisiko menghidap sakit jantung koronari daripada dua faktor iaitu faktor yang tidak boleh diubah dan yang boleh diubah.

Dr Nor Izham berkata, usia antara faktor yang tidak boleh diubah dan semakin seseorang itu berumur semakin tinggi risiko untuk dia menghidap sakit jantung.

Menurutnya, kajian mendapati golongan lelaki lebih banyak menghidap sakit jantung berbanding wanita dan faktor keturunan turut menjadi pengukur kepada risiko sakit tersebut terutama mereka yang ibu bapanya pernah mengalami sakit jantung ketika usia muda iaitu sebelum mencecah usia 55 tahun bagi lelaki manakala sebelum mencapai usia 65 tahun bagi wanita.

"Kumpulan kedua yang boleh diubah dengan amalkan cara hidup sihat termasuk bersukan dan beriadah secara berterusan selain pentingkan aspek pemakanan yang sihat dan bukan sahaja dari segi beli makanan berkualiti malah cara penyediaan turut perlu diambil kira contohnya dengan amalkan cara mengukus atau merebus ikan dan sebagainya," katanya.

Katanya, selepas sakit jantung, pesakit juga berisiko untuk menghidap tekanan darah tinggi yang turut dianggap sebagai pembunuh senyap serta boleh menyebabkan seseorang itu diserang angin ahmar.

"Sering saya tekankan cara hidup yang tidak sihat perlu diubah termasuk dari segi diet dan selalu membuat pemeriksaan tekanan darah secara berkala terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas serta mengambil ubat-ubatan dengan cara yang betul," katanya.

Jelasnya, selain itu penyakit kencing manis pula turut disebabkan oleh faktor keturunan dan dianggarkan 10 peratus penduduk Malaysia menghidap sakit itu manakala 10 peratus lagi tidak tahu diri mereka penghidap sakit kronik terbabit.

"Kita mendapati 10 peratus yang tidak tahu itu lebih bahaya kerana mereka sudah pasti tidak membuat sebarang rawatan dan sekiranya tiada tindakan, ia boleh membawa kepada komplikasi lain selain jantung seperti buah pinggang dan kemungkinan juga ada anggota badan terpaksa dibuang atau dipotong.

"Saya menasihatkan masyarakat agar tidak memandang ringan pemeriksaan kesihatan dengan membuat pemeriksaan tahap gula dalam darah terutama bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai sejarah keluarga kencing manis," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hospital ini menjadi pusat perubatan pertama di selatan tanah air memiliki mesin berteknologi tinggi, Philips Allura Xper FD 10/10 Sistem Ombasan Sinar X Biplane tiga dimensi (3D) bagi menangani penyakit jantung koronari.

Menurutnya, kelengkapan bernilai RM3.8 juta ditempatkan di Makmal Katheterisasi Jantung sebagai alat untuk membantu mengenal pasti sebarang masalah berkaitan jantung sekali gus mampu berfungsi membuka arteri atau pembuluh darah yang tersumbat melalui tiub halus dipanggil kateter (catheter).

"Kita sedar ramai pesakit tidak tahu rawatan sesuai dan di Pantai Hospital kita akan berikan khidmat terbaik dan imbasan 3D yang kita ada di makmal juga mampu berikan 90 peratus keputusan tepat," katanya.