Manifesto BN Labuan tumpu 10 perkara

Iklan
Bashir - Foto Bernama

LABUAN - Barisan Nasional (BN) Labuan melancarkan manifesto khusus untuk Labuan malam ini, merangkumi 10 perkara bagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan komuniti peniaga di Wilayah Persekutuan itu.

Calon BN Labuan, Datuk Bashir Alias berkata, ia melibatkan usaha memperkasa program pembangunan ekonomi dengan penyertaan anak muda; memperkasa institusi dan kecemerlangan pendidikan dengan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); mengurangkan kos sara hidup; memperbanyakkan rumah mampu milik serta memperkasa peranan dan penglibatan wanita dalam sektor pembangunan sosioekonomi.

Iklan
Iklan

Selain itu, turut terkandung dalam manifesto itu adalah memperjuangkan isu nelayan; menaik taraf sistem saliran dan hakisan pantai; menaik taraf dan meningkatkan kualiti infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan telekomunikasi; mempelbagaikan sektor ekonomi dan pelancongan serta kestabilan dan kemakmuran Labuan.

"Janji-janji ini adalah terhadap isu-isu yang telah lama membebankan rakyat dan perlu penyelesaian konkrit,” kata Bashir ketika melancarkan manifesto berkenaan.

Iklan

Ketua Bahagian UMNO Labuan itu berdepan persaingan enam penjuru dengan penyandang, Datuk Rozman Isli daripada Parti Warisan, Datuk Suhaili Abd Rahman (Perikatan Nasional-Bersatu), Datuk Dr Ramli Tahir (Pakatan Harapan-Amanah), Dayang Rusimah@Raynei Mohd Din (Parti Bangsa Malaysia) dan Datuk Seri Ramle Mat Daly (Gerakan Tanah Air-Pejuang). - Bernama

Iklan