IPOH - Golongan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) antara golongan yang paling terkesan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020.
Namun, pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu berjaya membantu golongan peniaga kecil dan usahawan menyelamatkan perniagaan mereka yang terjejas.
Di sekitar Bandar Meru Raya, Taman Perpaduan, Manjoi dan beberapa kawasan di dalam Parlimen Tambun, kebanyakan peniaga mengakui beberapa bentuk bantuan yang diberikan kerajaan sebelum ini sangat membantu mereka meringankan beban.
Ramai dalam kalangan peniaga mendapat manfaat daripada Geran Khas Prihatin (GKP), moratorium pinjaman dan beberapa inisiatif lain khusus buat golongan PMKS yang disediakan kerajaan sebelum ini.
Maka tawaran Perikatan Nasional (PN) menerusi PN Best yang diumumkan baru-baru ini amat dialu-alukan dalam usaha merancakkan sektor ekonomi.
Antara tawaran yang mencuri tumpuan termasuklah menyediakan insentif khas Skim Prihatin PMKS bagi menggalakkan pendigitalan dan pengautomasian pengeluaran produk, perkhidmatan serta latihan kemahiran.
Insentif ini bertujuan membantu PMKS meningkatkan penjenamaan dan kualiti produk bagi memperluaskan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.
REAKSI PENIAGA PARLIMEN TAMBUN
"Ketika PKP, perniagaan saya memang terjejas. Mujurlah ada GKP yang kerajaan perkenalkan masa itu, jadi dapatlah tampung perbelanjaan dan duit sewa premis. Saya harap inisiatif seperti ini dapat diteruskan khususnya bagi usahawan yang menghadapi masalah kewangan." - Mohamad Amri Shahrizal Tajuddin, 24.
"Kalau kita tengok tawaran PN, ada dinyatakan secara khusus inisiatif bagi membantu golongan PMKS macam saya. Lebih-lebih lagi usahawan muda macam kami ini memang perlukan sokongan dan bantuan untuk memastikan perniagaan berjaya.” - Haziq Daniel Amri, 22.
"Pemberian moratorium pinjaman bank oleh kerajaan sebelum ini sangat membantu saya yang ketika itu memang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Ketika ini saya sudah mulakan perniagaan dan inisiatif yang membantu PMKS mesti diberikan keutamaan.” - Mohd Hyezli Saari, 31.
"Walaupun masa PKP saya tak terkesan sangat tetapi bantuan GKP yang diberikan kerajaan sangat membantu mengembangkan perniagaan. Ketika itu saya manfaatkan bantuan untuk membeli mesin dan beberapa keperluan lain." - Rusmaria Muhammad, 42.
"Ketika PKP saya meniaga online dan alhamdulillah jualan baik. Ada juga mohon GKP dan dapat. Jadi, duit itu saya buat modal beli barang-barang jualan. Memang usahawan PMKS perlu diberi perhatian dan insentif untuk besarkan lagi perniagaan mereka." - Muhammad Syamim Suhaimi, 29.
"Saya berniaga buah selepas kerajaan benarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Daripada duit itu saya buat modal sampai sekarang. Saya rasa bukan sahaja usahawan PMKS kena bantu tetapi pekebun dan petani juga perlu diberikan perhatian." - Ahmad Sabri Johari, 37.
"Usahawan PMKS ini amat perlukan bantuan. Jika ada usaha ke arah itu memang tepatlah perancangan itu. Golongan peniaga kecil ini berdepan cabaran besar, insentif yang dicadangkan mampu ringankan beban." - Mior Amirurrurrahim Mior Hasrim, 25.
"Memang saya akui masa PKP terpaksa keluar modal sendiri untuk berniaga. Saya amat berharap usahawan PMKS ini diberi layanan yang adil. Beri sedikit kelonggaran kepada mereka dari segi mendapatkan lesen perniagaan dan sebagainya." - Hamidah Abdul Samad, 56.
"Harga barang sekarang ini dah semakin mahal. Bagi usahawan kecil macam kami memang rasa terbeban. Jadi, insentif untuk golongan PMKS sangat baik dan membantu meringankan beban." - Nor Fazila Mohd Nawawi, 50.