PRU15: Sokong KJ demi pelaburan masa depan negara

Iklan
KJ berucap pada Ceramah Kata Janji KJ di tapak pasar malam Kampung Melayu Sungai Buloh pada Sabtu.

SUNGAI BULOH - Khairy Jamaluddin Abu Bakar merayu penyokong Pas dan Pakatan Harapan (PH) memberi undi kepadanya untuk membolehkannya menang kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penyandang ahli Parlimen Rembau itu berkata, memberikan sokongan kepadanya ibarat pelaburan masa depan negara.

Iklan
Iklan

Menteri Kesihatan itu berkata, beliau tidak akan menghampakan sokongan yang diberikan oleh pengundi dan akan menyerahkan seluruh jiwa raga untuk menjaga orang Sungai Buloh.

"Untuk capai kemenangan, undi jangan pecah. Jangan bagi undi ke Perikatan Nasional (PN) tapi bagi ke BN. Orang Pas sokong saya, saya akan jaga anda.

Iklan

"Kepada penyokong PH, saya tahu anda dalam dilema sekarang ini, tidak pasti sama ada nak sokong parti atau KJ.

"Beri isyarat kepada pemimpin anda, kita perlu ada semak dan imbang di Sungai Buloh. Buat penyokong PH, jika sokong saya sebagai ahli Parlimen, saya akan jaga anda," katanya pada Ceramah Kata Janji KJ di tapak pasar malam Kampung Melayu Sungai Buloh pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, Sungai Buloh memerlukan seorang pejuang sepertinya untuk menawan kembali kerusi tersebut selepas BN kalah selama tiga penggal.

"Sudah sekian lama tidak ada pejuang, tiada seorang yang berani datang ke kawasan yang telah kalah tiga kali berturut-turut.

"Kalau saya menang, saya akan menjadi pejuang yang terbaik untuk orang Sungai Buloh sepanjang masa," katanya.

Katanya, BN mempunyai peluang untuk menang walaupun pada mulanya merasakan menawan Sungai Buloh adalah misi yang sukar.

"Semasa saya diberitahu akan bertanding di Sungai Buloh, perkara yang pertama terlintas di fikiran saya adalah perjalanan saya akan menjadi sangat sukar.

"Ia seperti gunung yang tidak dapat didaki tetapi setelah seminggu berada di sini, saya rasa kita boleh tawan Sungai Buloh. Kita rampas semula Sungai Buloh," katanya.

Beliau memberikan jaminan, calon Perdana Menteri yang akan dipilih adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya mahu beritahu dengan jelas agar tiada kekeliruan. Calon PM daripada BN adalah Ismail Sabri, tidak ada orang lain.

"Semua orang sudah setuju termasuk presiden parti. Jangan pesan lain, barang yang sampai lain. Ini bukan PM Shopee," selorohnya.