Selangor singkir Negeri Sembilan

Iklan
Caion meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi. - Foto Facebook Selangor FC

SELANGOR FC melangkah ke separuh akhir selepas terikat seri 2-2 menentang Negeri Sembilan FC dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.

Keputusan seri itu sudah cukup buat The Red Giants menempah slot empat terbaik dengan agregat 4-2 selepas melakar kemenangan 2-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Selangor FC yang seakan-akan mendapat aura baharu di bawah kendalian bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan membuat perhitungan menentang Terengganu FC (TFC) dalam aksi separuh akhir.

Bertandang ke gelanggang lawan, Selangor FC tampak kental menyerap setiap asakan Negeri Sembilan FC yang mula menggempur kubu pelawat sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Iklan

Gawang Negeri Sembilan hampir bolos seawal minit ketujuh apabila percubaan Nor Hakim Hassan sedikit melepasi palang walaupun dia hanya berdepan dengan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Dua minit berselang, Caion De Souza berjaya membuka tirai jaringan Selangor selepas bola gagal dikeluarkan dengan baik barisan pertahanan Negeri Sembilan sebelum dia merembat deras ke gawang lawan.

Iklan

Jaringan itu nyata tidak melunturkan semangat Negeri Sembilan dan tuan rumah memperoleh sepakan penalti selepas Che Rashid Che Halim dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-24.

Penyerang import, Matheus Alves yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Mohd Khalid untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak lama apabila Selangor memperoleh gol kedua menerusi jaringan pemain import, Yazan Mahmoud pada minit ke-44 hasil rembatan padu dari luar kotak penalti.

Seminit kemudian, Negeri Sembilan kembali menyamakan hasil jaringan Zaquan Adha susulan keadaan kelam kabut dalam kotak penalti selepas sepakan bola mati yang diambil Khuzaimi Piee.

Bersambung babak kedua, kedua-kedua pasukan berusaha memburu jaringan tambahan, namun usaha itu tidak berhasil apabila perlawanan berkesudahan 2-2.