SHAH ALAM - Memasuki minggu terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kesemua parti dilihat semakin rancak bergerak memancing undi di setiap pelosok kawasan.
Tinjauan Sinar Ahad di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat mendapati kebanyakan pengundi sudah 'menanda' calon-calon yang mereka percaya mampu membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara.
Di MELAKA, pengundi menyatakan kecenderungan itu berbanding melihat kepada bendera parti yang dibawa calon.
Pekerja swasta, Firdaus Yusri, 21, berkata, untuk undi yang kali pertama ini, faktor kredibiliti calon akan menjadi kayu pengukur kepada dirinya sebagai pengundi baharu.
"Saya lebih cenderung untuk pilih calon dan melihat kepimpinannya sama ada layak menjadi wakil rakyat atau sebaliknya.
Suri rumah, Hafizah Yaacob, 38, berkata, dia akan mengundi berdasarkan calon yang ditampilkan sesebuah parti.
"Lagipun sekarang dah ada media sosial dan mudah kita nak lihat seseorang calon itu mampu menjadi wakil rakyat atau tidak," katanya.
Bagi pelajar kolej, Rafissah Abd Razak, 19, dia akan membuat pilihan pada Sabtu ini dengan melihat kriteria calon dan wawasan serta manifesto yang dibawa.
"Kita bukan orang parti, dan tak memilih mana-mana parti jadi saya sebagai pengundi muda akan melihat latar belakang calon terlebih dahulu," katanya.
Di KELANTAN, seramai 10 pengundi di negeri ini yang ditemui memilih 'batang tubuh' untuk diangkat sebagai pemimpin berbanding parti.
Kong Teck Seng, 51, Abdul Rahim Abdullah, 65, dan Roslina Ariff, 58, mahukan calon yang mempunyai kredibiliti menjadi wakil mereka di Parlimen.
Mohd Razis Rosli, 38, dan Asiah Yunus, 69, turut meletakkan calon sebagai pilihan utama kerana pemimpin tersebut yang akan bekerja untuk rakyat.
Dua lagi pengundi, Mohd Sadiqi Zakaria, 32, dan Siti Nur Maisarah Mazlan, 19, menjadi calon serta parti sebagai panduan untuk mengundi.
Bagi Nurul Fatihah Mahadi, 29, dan Ahmad Aiman Asyraf Mohamed, 22, pula mereka lebih mengutamakan manifesto yang ditawarkan oleh parti bertanding.
Sebagai pengundi, mereka menganggap manifesto adalah sebagai 'umpan' bagi sesebuah parti mendapatkan satu undi.
Berbeza pula dengan Muhamad Hanis Mustapa, 33, yang menjadikan faktor calon, manifesto dan parti sebagai elemen utama memberikan undi.
Di JOHOR, para pengundi mengakui mereka sudah membuat keputusan untuk mengundi dengan kebanyakan mereka memilih calon berbanding parti.
Madyasir Ahmad Basir, 27, berkata, sepanjang pemerhatiannya selepas seminggu kempen PRU15 berlangsung, calon memainkan peranan penting.
"Calon perlu ada visi dan misi yang jelas untuk membawa suara penduduk.
"Perkara ini dapat dilihat berdasarkan manifesto calon itu kerana di situ akan dilihat apa dasar dan perancangan calon selepas PRU15.
"Selepas seminggu kempen, saya sudah mempunyai keputusan untuk mengundi calon pilihan," katanya.
Di PULAU PINANG, setelah mempertimbangkan sejak dua minggu lalu, pekerja swasta, Noor Aniza Sulaiman, 40, sudah membuat keputusan memilih parti yang dirasakannya boleh membentuk kerajaan yang stabil.
"Setelah saya fikir dan mempertimbangkan semua aspek, saya memilih calon kerana calon yang menjadi pilihan mesti seorang yang berpelajaran dan bersih dari tuduhan rasuah.
"Selain itu, pemilihan calon amat penting kerana mereka akan menjadi pemimpin negara yang akan memulihkan ekonomi negara selain yang boleh bekerja untuk rakyat," katanya.
Ahli perniagaan, Dayang Murdiyah Natahsa Asgar, 39, berkata, dia tetap keluar mengundi kerana itu tanggungjawab sebagai pengundi.
"Saya sudah buat pilihan nak undi siapa nanti. Bagaimanapun, saya tetap fikirkan isu semasa juga," katanya.