SHAH ALAM - Sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) khususnya melibatkan kawasan-kawasan luar bandar dijangka merosot kerana sokongan mungkin beralih kepada calon MCA dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penganalisis politik yang menganggotai kajian Akademik Pusat Kajian Cina Malaysia (Huayan), Dr Chin Yee Mun berkata, berdasarkan pemerhatian dalam tempoh seminggu berkempen, usaha dan pendekatan yang digerakkan MCA lebih ketara berbanding PRU14 sama ada di platform media sosial dan lapangan.
Menurutnya, impak daripada isu-isu yang dibawa menerusi kempen-kempen yang dijalankan itu bakal memberi kelebihan kepada BN dan kemungkinan berlaku perubahan sokongan undi terhadap mereka.
"Sebelum ini kalau kita lihat pada PRU lepas, daripada segi media sosial memang PH yang kuasai. Tapi dalam PRU15 nampaknya parti-parti berasaskan pengundi cina yang lain seperti MCA juga telah berusaha dalam perang di alam siber ini.
"Dalam PRU lepas MCA kurang lakukan ceramah-ceramah secara fizikal. Tapi dalam PRU15 ini, nampaknya agak banyak aktiviti ceramah yang dibuat dikedai-kedai tepi jalan, kedai kopi dan sebagainya.
"Kesannya, saya rasa mungkin ada sedikit perubahan dalam pengundi Cina dalam bagaimana mereka membuat pilihan kali ini. Mungkin isu-isu yang dibawa oleh MCA akan dapat meningkatkan sokongan kepada BN.
"Terutamanya dalam kawasan di luar bandar. Apa yang saya dapat perhatikan setakat hari ini mungkin sokongan terhadap PH akan merosot sedikit di kawasan luar bandar. Sokongan mungkin beralih sedikit kepada MCA,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, tidak dinafikan semua parti dilihat berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Namun jelas beliau, potensi BN dalam mendapatkan sokongan pengundi Cina ini lebih tinggi terutamanya melibatkan kawasan yang mempunyai pengundi campur.
"Apabila MCA bertanding dalam kawasan Parlimen sedemikian, kemungkinan untuk menang itu lebih tinggi kerana mereka akan dapat raih sokongan daripada pengundi Melayu, pengundi India.
"Apabila ramai pengundi Cina ramai bersetuju menyokong semula MCA, jadi MCA ada kelebihan untuk menang,” katanya.