KUANTAN - Laporan polis berhubung kehilangan bendera kempen sebuah parti politik di Nenasi, Pekan disyaki dicuri antara tiga kertas siasatan dibuka di negeri ini, pada Sabtu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dua lagi kes melibatkan perbuatan khianat dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Polis juga turut menerima laporan dan membuka kertas siasatan berhubung kejadian bendera kempen calon Dun Chini,Pekan yang didakwa menjadi mangsa khianat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ramli berkata, sepanjang tempoh 24 jam pada Sabtu, pihaknya menerima 33 laporan polis dan hanya tiga kes dibuka kertas siasatan.
"Sebanyak 214 laporan polis diterima dengan 11 kertas siasatan dibuka setakat ini berkait kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pahang.
"Sebanyak 312 premit kempen telah diterima dan diluluskan dengan 216 adalah permit ceramah," katanya.