JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa agar keselamatan pekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang dan penduduk sekitar kawasan tersebut diutamakan.
Menurut beliau, projek mega minyak dan gas seumpama itu memang berdepan pelbagai risiko kemalangan.
"Isu keselamatan pekerja dan tempat kerja perlu sentiasa diutamakan termasuk keselamatan penduduk sekitar.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua cedera Rapid Pengerang meletup
"Saya berharap agar insiden seumpama ini tidak berulang kerana projek mega minyak dan gas seperti ini sememangnya berdepan dengan pelbagai risiko kemalangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Awal pagi tadi, berlaku letupan dan kebakaran di Kompleks Bersepadu Pengerang kira-kira jam 1.25 pagi dan polis mengesahkan dua warga tempatan cedera dalam kejadian itu.
Video berkaitan kejadian itu tersebar di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Azalina yang terkejut dengan insiden itu berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak Petronas mengenai kejadian tersebut.
"Saya amat sedih dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian ini
"Saya telah berhubung dan dimaklumkan oleh Petronas bahawa keadaan sudah terkawal dan mereka akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari masa ke semasa kerana siasatan untuk mengetahui punca sebenar masih sedang dijalankan," katanya.
Katanya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor juga perlu menjalankan tanggungjawab bersama dalam hal ehwal impak alam sekitar.