DENGKIL - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh penjawat awam sekiranya dipilih menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, partinya sudah ada tawaran kepada penjawat awam dalam aku janji yang diumumkan sebelum ini.
Katanya, sekiranya diumum memberikan wang kepada penjawat awam pada masa ini, ia seolah-olah memberikan rasuah kepada mereka seperti yang dilakukan oleh BN.
"Sebelum 19 hari bulan rasuahlah tu, nak beli undi. Kalau mereka baik tak payah beli.
"Ini nak beli undi bagi duit dahulu, bagi gaji dahulu kononnya nak tolong keluarga, waktu ini baru nak tolong mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas walkabout bersama calon Pejuang bagi Parlimen Sepang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim di pasar pagi Taman Dengkil di sini pada Ahad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos lalu mengumumkan penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 negara bakal menikmati Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 mulai Januari depan.
Dr Mahathir dalam masa sama turut menyerahkan kepada penjawat awam siapa yang mereka mahu sokong dalam PRU15.
Jelasnya, sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya memerintah, ia stabil dan tidak ada yang ‘berkocak’.
Bagaimanapun, akibat daripada tindakan ‘pintu belakang’, macam-macam telah terjadi.
"Sekejap orang itu naik, sekejap orang ini naik. Bukan minat nak berkhidmat, minat nak cari duit.
"Penjawat awam mereka tahu bahawa kita ikhlas, kita ikut peraturan-peraturan dan kita tak langgar undang,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir turut memberikan komen mengenai perang mulut antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dakwa Dr Mahathir, sekiranya Ahmad Zahid dipilih menjadi Perdana Menteri, calon Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan menyingkirkan siapa sahaja yang menentangnya.