PRU15: Jadikan Machang hub logisitik perdagangan, Bandar Ilmu

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal (tengah) beramah mesra dengan golongan belia di Machang.

MACHANG - Calon Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu menjadikan Machang sebagai hub logistik perdagangan serta memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut beliau, fokus utama itu akan dilaksanakan sekiranya diberi mandat untuk menjadi Ahli Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Iklan
Iklan

Wan Ahmad Fayhsal berkata, kedudukan Machang yang strategik dan berada di laluan perhubungan utama antara jajahan-jajahan di negeri ini dilihat amat sesuai untuk dijadikan sebagai hub logistik untuk perdagangan di Kelantan.

"Secara tidak langsung ia cukup strategik untuk dibangunkan sebagai pusat perkembangan ekonomi di luar Kota Bharu.

Iklan

"Sebaik sahaja ekonomi berkembang, secara tidak langsung Machang boleh dijadikan sebagai Bandar Ilmu dengan mewujudkan kampus universiti yang baharu, politeknik serta TVET," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad..

Ujar beliau, bagaimanapun TVET merupakan keutamaanya dengan membawa masuk Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) ke Machang sebagaimana yang diwujudkan di Tanah Merah.

Iklan

"Hal ini kerana anak-anak Kelantan mempunyai bakat dalam bidang teknikal serta vokasional dan usaha ini sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Machang sebagai Bandar Ilmu," katanya.

Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, selain dua agenda itu, isu melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya, air, infrastruktur belia dan sukan turut akan diperjuangkan olehnya.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan penghijrahan keluar secara beramai-ramai anak muda di Machang bagi mencari rezeki di tempat lain nanti," katanya.

Pada PRU15 kali ini, Wan Ahmad Fayhsal akan ditentang oleh tiga lagi calon iaitu penyadang kerusi Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN); Dr Rosli Allani S Abdull Khadir (Pakatan Harapan) dan Mejar (B) Muhamad Seman (Gerakan Tanah Air).