TAPAH - Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad percaya kerusi Parlimen Gerik yang disifatkan sebagai kerusi bermasalah kerana meletakkan calon luar kini kembali 'putih'.
Menurut beliau, kubu kuat BN itu mungkin dianggap sebagai kerusi 'kelabu' berikutan terdapat kekecohan sebelum hari penamaan calon, baru-baru ini.
"Saya hadir ke Kampung Jong berkempen dan pada masa sama, saya menyelami dan melihat sama ada terdapat sebarang penolakan atau protes secara diam terhadap calon.
"Melihat bagaimana masyarakat, jentera dan orang Gerik bertungkus lumus turun padang memenangkan ketiga-tiga calon nampaknya masalah dalaman tidak ada apa-apa, tiada penolakan.
"Saya percaya orang kata 'kelabu' kerana kekecohan itu tetapi sekarang saya percaya ia sudah 'putih'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan baharu dan Balai Desa Semai Kampung Orang Asli Sungai Lah, Chenderiang di sini pada Ahad.
Hadir sama calon BN Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Choong Shin Heng dan calon Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin.
Media melaporkan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan Parlimen Gerik sebagai kerusi 'kelabu' kerana calonnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bukanlah calon tempatan.
Parlimen Gerik menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila Asyraf Wajdi akan berdepan dengan Fathul Huzir Ayub (Perikatan Nasional) dan calon Pakatan Harapan, Ahmad Tarmizi Mohd Jam.
Kerusi kelabu bermakna kawasan itu mempunyai peluang 50-50 manakala kerusi 'putih' merupakan kawasan selamat manakala kerusi 'hitam' bermaksud peluang kemenangan yang tipis.