KANGAR - Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cuti khas pada 18 November ini bagi memudahkan pengundi menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum sebarang penetapan berhubung perkara berkenaan.
"Kalau nak raih kemenangan (pada PRU15) dengan hanya beri satu hari cuti, saya rasa itu bukan caranya.
"Namun kalau ia sesuatu yang baik untuk rakyat, mengapa tidak.
"Saya sendiri pun akan cadang pada Perdana Menteri untuk pertimbangkan perkara ini supaya mudah untuk pergerakan pengundi balik ke kampung,” katanya selepas sesi 'walkabout' bersama calon BN di Pasar Pagi Mahkota, di sini pada Ahad.
Calon BN yang hadir sama dalam program tersebut adalah Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya (Parlimen Kangar); Hamizan Hassan (DUN Kayang); Kamaruddin Malik (DUN Kuala Perlis); Saiful Daniel Mohd. Yusof (DUN Sena) dan Lim Weng Khee (DUN Indera Kayangan).
Sebelum ini, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan telah mengumumkan cuti umum pada Jumaat ini bagi memudahkan pengundi untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi membuang undi.
Mengulas mengenai program tersebut, Azlan memberitahu, semua calon BN dalam Parlimen Kangar bergerak dalam satu pasukan bagi melihat maklum balas pengundi terhadap parti itu menjelang PRU15.
"Pengundi di kawasan ini kebanyakan merupakan kaum Cina dan mereka telah menunjukkan maklum balas positif malah kita dapat melihat perubahan sikap mereka terhadap BN dalam PRU15,” ujarnya.