KLUANG - [DIKEMAS KINI] Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik terpaksa bersabar apabila dihalau seorang warga emas ketika melawat mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan sementara di Simpang Renggam pada Ahad.
Video berdurasi 1 minit 29 saat mengenai kejadian tersebut tular ketika ini yang memaparkan bekas Menteri Pendidikan tiba di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof.
Dalam video berkenaan, lelaki berkenaan 'naik angin' ketika Maszlee sampai di pintu pagar dewan berkenaan sebelum menjerit ke arah calon PH tersebut dengan nada keras menyuruhnya pulang.
Bagaimanapun dua anggota polis mengawal dan menenangkan warga emas tersebut daripada terus marah sebelum dibawa ke tepi jalan di dewan itu.
Selepas lelaki itu ditenangkan datang, seorang lagi warga emas juga tidak membenarkan Maszlee berkempen di situ dan memintanya pulang.
"Kita ikut undang-undang, malam tadi sudah cakap, politik tidak dibenarkan datang (berkempen di dewan itu)," kata warga emas tersebut sebelum Maszlee mencelah dan memberitahu banyak yang sudah dilakukan di Simpang Renggam.
Maszlee berkata, beliau sudah hampir lima tahun berkhidmat di Parlimen itu dan antara yang sudah diselesaikan masalah air dan sampah selain membawa restoran makanan segera McDonald's di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, lelaki warga emas tersebut masih tidak mahu mendengar penerangan dan menyuruh penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam itu pulang sebelum Maszlee mendakwa layanan diberikan lelaki itu sebagai 'inilah perangai UMNO'.
Maszlee kemudian mendakwa rakyat mengenalinya dan sentiasa bersama rakyat sama ada susah atau senang.
Kejadian tersebut dipercayai dirakamkan jentera kempen PH sebelum tular dalam media sosial.
Sementara itu, Maszlee melalui rakaman video yang disiarkan di Facebooknya memberitahu bahawa beliau telah memaafkan tindakan dua warga emas terbabit dengan menyifatkan manusia sentiasa membuat kekhilafan.
Pada masa sama bekas Menteri Pendidikan itu turut memohon maaf atas keterlanjuran kata-katanya semasa bercakap dengan seorang daripada warga emas tersebut dengan menyifatkan perbuatan menghalau itu sebagai 'perangai UMNO'.
Jelasnya, tindakan itu mungkin mengguris hati penyokong UMNO dan berharap insiden provokasi seumpama itu tidak akan berulang kepada mana-mana pihak pada masa depan.
Selain itu, Maszlee turut menasihati penyokong PH supaya tidak memberikan respon negatif yang sama dan mengingatkan bahawa semua rakyat Malaysia perlu hidup rukun, bersaudara serta memasuki gelanggang demokrasi dengan sikap profesional.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi Parlimen Simpang Renggam dimenangi Maszlee dengan 18,157 undi, berbanding calon Lian Teck Meng (BN) meraih 14,682 undi, manakala Mohd Jubri Selamat (Pas) mendapat 2,983 undi.
Maszlee menang dengan majoriti 3,475 undi.
Pada PRU15, Maszlee akan berdepan Pengerusi UMNO dan BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Mohd Fazrul Kamat (Perikatan Nasional) serta Kamal Kusmin (Gabungan Tanah Air).