GOMBAK - Pam berkuasa tinggi digunakan bagi menyedut dan menyuraikan air di lokasi terjejas banjir di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah mangsa terjejas akibat banjir menunjukkan peningkatan di Meru.
Menurutnya, daerah Kuala Selangor turut mengalami banjir namun keadaannya tidak terjejas teruk dengan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) menempatkan antara 30 sehingga 40 orang mangsa.
"Jika tiada hujan, mangsa terjejas banjir boleh pulang ke rumah dalam tempoh dua hari," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan banjir di Selangor ketika ditemui di Karnival Penggerak Belia Selangor di Uptown Sri Gombak pada Ahad.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan banjir dari masa ke masa selain mengingatkan petugas keselamatan agar sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Jelasnya, keadaan banjir di Selangor adalah terkawal dan walaupun tidak sempurna namun keadaannya lebih baik dari insiden tahun lepas.
Sementara itu, menerusi kemas kini di laman sesawang Info Bencana JKM, sebanyak enam PPS membabitkan 393 mangsa daripada 95 keluarga dibuka di Selangor setakat jam 3.02 petang.
Enam PPS itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Klang; SK Sungai Sireh, Kuala Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram; Dewan Orang Ramai Seri Harmoni, Kuala Selangor; SJK (C) Yuk Chih Batang Berjuntai, Kuala Selangor dan Dewan Masjid Kampung Johan Setia, Klang.