KLUANG - Penduduk Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam, di sini mengharapkan ahli Parlimen yang akan dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat menyelesaikan isu banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan kediaman mereka setiap kali hujan lebat.
Terbaharu pada Sabtu, seramai 25 mangsa banjir daripada tujuh keluarga di Kampung Ithnin Maarof dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dewan utama kampung berkenaan.
Penduduk yang ditemui, Norlizan Amat Sepuan, 38 tidak menyangka air banjir naik begitu cepat pada petang Ahad sehingga memaksa dia dan keluarga berpindah ke PPS di dewan utama kampung.
Dia dan suaminya serta tiga orang anak berpindah ke PPS yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah sekitar jam 10 malam pada Sabtu.
Lebih menyedihkan anak keduanya, Mohd Nur Haikal Nordan, 17 tidak dapat menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya pada Ahad.
"Air naik begitu cepat sampai paras lutut. Hujan berterusan pada sebelah tengah hari sehingga petang memburukkan lagi keadaan, rumah mula dinaiki air pada jam 7 malam.
"Tidak sampai dalam tempoh setengah jam, bahagian dapur rumah mula dinaiki air. Saya bersama suami dan anak-anak berkemas dan pindah segera ke PPS," katanya ketika ditemui di PPS terbabit pada Ahad.
Anaknya, Mohd Nur Haikal sedih kerana tidak dapat menduduki peperiksaan percubaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Abdul Rahman Andak.
" Malam tadi sibuk mengemas bantu ibu dan ayah, sampai jam 2.30 pagi. Memang tidak sangka banjir akan berlaku dan agak teruk kali ini," katanya.
Penduduk, Sumi Awi, 66 berkata rumahnya sudah beberapa kali dimasuki air sejak dua tahun lalu terutama ketika hujan lebat.
"Bulan lepas, banjir berlaku menyebabkan saya dan keluarga berpindah ke PPS. Kemudian, pada akhir tahun 2020 dan awal tahun 2021, saya sekeluarga turut berpindah ke PPS.
"Hujan lebat pada sebelah tengah hari Sabtu, menyebabkan saya dan sekeluarga berpindah ke PPS. Memang penat setiap kali hujan kena mengemas dan harap sangat isu banjir dapat diatasi segera," katanya.
Jelasnya, sistem perparitan di kampung berkenaan perlu ditambah baik dan di dalamkan bagi menampung jumlah air hujan yang tinggi pada musim tengkujuh pada akhir tahun.
"Memang perlu ditambah baik sistem perparitan di sini, kalau boleh digali dan di dalamkan selain dibersihkan untuk aliran air yang lebih baik.
" Penduduk tidak sanggup lagi berdepan banjir saban tahun," katanya.