BAGAN DATUK - Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan tawaran lantikan sebagai Senator kepada Datuk Seri Anifah Aman itu adalah komitmen pembentukan kerajaan baharu BN.
"Ini bukan hanya janji saya. Ini komitmen untuk kerajaan baharu BN.
"Itu kalau harapannya. Insya-ALLAH, itu yang akan dilaksanakan," katanya kepada pemberita semasa hadir menyaksikan Pertandingan Futsal Tertutup di Hutan Melintang di sini pada Ahad.
Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Luar itu yang mendakwa ditawarkan jawatan lantikan sebagai ganjaran tidak bertanding di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu mendakwa, Presiden UMNO itu turut memintanya membantu calon-calon BN menang di Sabah.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, BN mahu memastikan kemenangan di Parlimen Kimanis dapat dikekalkan seterusnya menyumbang kerusi bagi membentuk kerajaan baharu.
"Pastikan Kimanis menang dan Sabah dapat menyumbang banyak kerusi bagi pembentukan kerajaan di Putrajaya," katanya.
Anifah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kimanis pernah menyatakan pendirian untuk terus mempertahan kerusi berkenaan dengan tiket PCS.
Pada PRU15 ini, kerusi Parlimen Kimanis menyaksikan pertembungan lima penjuru antara penyandangnya, Datuk Mohamad Alamin daripada BN dengan Dr Daud Yusof (Warisan), Yusop Osman (Pejuang), Rowindy Lawrence Odong (Pakatan Harapan) dan Amat Mohd Yusof dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).