PENGERANG - Kakitangan bahagian dapur sebuah resort yang sedang khusyuk menyiapkan bahan masakan untuk sarapan terkejut dengan gegaran awal pagi tadi.
Salah seorang saksi, Nurul Suhana Affandi, 25 berkata ketika kejadian gegaran ketara pada bahagian bumbung.
"Masa itu dalam 1.30 pagi, kami tengah siapkan bahan untuk sarapan pagi tiba-tiba bunyi dari atas bumbung macam ada orang main lari-lari.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua cedera Rapid Pengerang meletup
"Saya keluar dan tengok atas bumbung kalau ada apa-apa tapi gegaran itu memang kuat cuma sekejap sahaja," katanya kepada Sinar Harian.
Nurul Suhana yang bertugas lewat malam tadi segera menghubungi kakitangan jabatan lain berkenaan gegaran tersebut.
"Saya telefon 'FO' sama ada mereka rasa juga atau cuma bahagian kami, kami dimaklumkan rupanya ada tempat meletup di Rapid.
"Lebih kurang setengah jam kemudian ada orang kongsi video kejadian kepada kami dalam WhatsApp," katanya.
Awal pagi tadi, berlaku letupan dan kebakaran di Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang.
Dua lelaki tempatan dilaporkan cedera dalam letupan tersebut dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.