PRU15: Ahli Parlimen PH diingatkan jangan culas ke Parlimen

Iklan
Anwar ketika berucap pada ceramah Harapan ‘Dari Alor Setar ke Putrajaya’ di Bilik Gerakan Taman Sri Impian, Mergong.

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak culas untuk hadir ke Dewan Rakyat untuk membawa suara rakyat terutama selepas diberikan mandat sebagai wakil rakyat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Parlimen adalah tempat untuk wakil rakyat mengkaji undang-undang dan membangkitkan isu setempat termasuk keperitan hidup rakyat selain membincangkan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bukanlah tempat yang boleh dipersendakan dengan sengaja tidak hadir untuk mewakili suara rakyat yang telah memberikan kemenangan dalam pilihan raya.

"Calon PH di Parlimen Alor Setar, Simon Ooi Tze Min Simon, ingat betul-betul kalau anda tak hadir (Parlimen) selepas menang, saya buang anda, namun saya percaya anda seorang anak muda yang rajin dan berkaliber, boleh menjadi ahli Parlimen yang baik sebab itu dicalonkan,” katanya ketika berucap pada ceramah Harapan ‘Dari Alor Setar ke Putrajaya’ di Bilik Gerakan Taman Sri Impian, Mergong pada Ahad.

Iklan

Anwar turut menempelak sikap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan isu kehadiran beliau ke Parlimen yang rendah tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap beliau.

Malah penyandang kerusi Parlimen Marang itu menjelaskan, kehadiran ahli Parlimen ke Sidang Dewan Rakyat tidak boleh disamakan dengan kedatangan ke sekolah kerana ia berbeza dari segi sistem dan perjalanannya.

Iklan

Anwar turut menyifatkan Pas sering menabur fitnah terhadap dirinya selain gemar memainkan isu keagamaan.

"Pas sebar fitnah macam-macam terhadap saya, orang baik tak cakap macam itu. Janganlah maki atau bercakap bukan-bukan. Sehingga ada pemimpin Pas keluar kenyataan pangkah PH atau Barisan Nasional (BN) masuk neraka, mana boleh cakap seperti itu, tidak cerdik, mudah-mudahan rakyat sedar,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar tegaskan, pemimpin yang mengkhianati amanah rakyat dengan melompat ke parti lain sehingga tersungkurnya kerajaan PH adalah pengkhianat besar.

"Penyandang Parlimen Lunas, Gombak, Ranau khianat kita berpakat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan mereka menang PRU atas tiket PH (PKR). Kalau budaya Melayu dulu-dulu, yang khianat kena sula dan tiada tempat dalam masyarakat.

"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah jangan khianat amanah, jangan khianat perjuangan atau derhaka kepada Raja. Tolak semua pengkhianat dan pilih PH,” katanya.

Anwar turut berharap agar ekonomi negara segera pulih agar kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik, khususnya selepas PRU15 sekiranya PH mengambil alih kerajaan.

"Sekarang ini ekonomi merosot, pekerjaan kurang, ringgit merudum, kalau saya jadi Perdana Menteri, saya tak mahu gaji sebab malu nak ambil, ramai rakyat tak ada kerja.

"Kalau gaji RM80,000 sebulan, tak betullah nak ambil gaji kecuali rakyat hidup senang. Jadi jumlah menteri perlu dikurangkan termasuk gaji mereka, sebabnya ekonomi belum pulih, bukan tambah lagi menteri,” ujarnya.