Perak ke arah pentadbiran berteraskan al-Quran

Iklan
Ahmad Faizal (kiri) menerima cenderamata daripada Hussamuddin.

IPOH – Kerajaan Perak menzahirkan komitmen untuk menjadikan negeri ini ke arah pentadbiran berteraskan al-Quran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu penting bagi memastikan misi, visi dan hala tuju negeri Perak terus di landasan terbaik dan diredai.

Iklan
Iklan
Pihaknya sedar, jawatan yang diterima ini bukan sekadar amanah rakyat, tetapi jauh lebih utama amanah ALLAH yang perlu digalas sebaiknya.

"Sejujurnya, sejak mengangkat sumpah selaku menteri besar, saya terpaksa mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan selalu terfikir;"macam mana nak mula? Apa yang patut aku buat terlebih dahulu? Boleh ke aku galas amanah sebesar ini?

"Lantas saya aplikasi kaedah asas disediakan al-Quran melalui Surah An Nahlu ayat 43 iaitu bertanya kepada orang-orang yang pakar.

Iklan

"Perjumpaan demi perjumpaan serta pertanyaan demi pertanyaan saya ajukan tidak lain bagi memahami struktur negeri Perak secara terperinci...alhamdulillah, kaedah bertanya dan berjumpa telah memberikan saya kekuatan untuk meneruskan kayuhan seterusnya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program Bicara Legasi #SavingLegacy peringkat negeri Perak, hari ini.

Beliau mengakui, dirinya juga tidak terlepas berhadapan dengan pelbagai konflik kerana wujudnya persepsi dan sikap iri hati yang timbul pada segelintir individu.

Iklan

Katanya, setiap konflik yang berlaku antara puncanya kerana tidak berterus terang, tidak jujur dan sentiasa bersangka buruk.

"Saya seorang yang tidak gemar meraikan konflik kerana pada hemat saya, setiap konflik atau polemik yang membelenggu ada jalan penyelesaian.

Dalam Islam telah mengajar umatnya untuk berdiskusi, bukan terus menuding jari.

"Saya sangat optimis dan sentiasa berpegang pada prinsip ‘yakin dengan orang yang saya beri kepercayaan’.

"Balaslah kepercayaan yang diberi dengan bekerja bersungguh-sungguh demi membina imej negeri Perak yang bukan sahaja hebat luaran, tetapi dalaman,” katanya.

Program anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Sekretariat Rumah Ngaji Negeri Perak dan kerajaan negeri ini turut menampilkan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail sebagai moderator.

Membawa model asas melalui kaedah tadabbur dan tazakkur ayat al-Quran sepertimana dalam surah Al-Balad (surah 90), penganjurannya diharap dapat menampung kelompongan yang ada sejajar dengan sistem pentadbiran menjadikan Perak baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, penganjuran program itu yang melibatkan ketua-ketua jabatan dapat membantu memperbaiki sebarang kelemahan dalam setiap urusan kerja.

"Peringatan untuk menjadi negeri yang baik dengan membebaskan perhambaan hutang sesama manusia, memberi makan melalui pengurusan ekonomi, melindungai anak yatim dan menguruskan masyarakat...ini antara perkara yang saya cuba bawa dari mula pentadbiran dipegang,” katanya.