JUARA Kejohanan Snuker Amatur Dunia 2022, Lim Kok Leong memerlukan masa dua tahun untuk menyiapkan diri sebelum beraksi dalam saingan profesional.
Kok Leong yang mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama merangkul gelaran tersebut mengakui perlu menimba lebih banyak lagi pengalaman beraksi di peringkat amatur sebelum dapat bersaing bersama pemain snuker berkelas dunia di tahap profesional.
"Saya tak tergesa nak menjadi profesional, apa yang penting saya harap dapat kutip pengalaman lagi pada kejohanan amatur dan mahu pertahan emas pada Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja tahun depan," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada Ahad.
Jumaat lalu, atlet berusia 27 tahun itu mencipta sensasi pada kejohanan berlangsung di Antalya, Turkiye selepas berjaya mengetepikan cabaran juara snuker Asia Amir Sarkhosh dari Iran 5-0 (68-63, 67-42, 78-0, 80-7, 73-54).
Pada Mei lalu, Kok Leong meraih pingat emas acara snuker dan biliard 6 red perseorangan lelaki selain membawa pulang perak acara snuker individu lelaki pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Meneruskan rentak kecemerlangan itu, Kok Leong turut meraih gelaran dalam Kejohanan Snuker Berpasukan Lelaki Dunia bersama pasangan Moh Keen Ho pada bulan lepas, yang menyaksikan gandingan itu mengulangi pencapaian sama pada edisi 2015 di Karachi, Pakistan.
Dalam pada itu, Kok Leong berkata, beliau sememangnya tiada tekanan beraksi di pentas final kerana berasakan dirinya berada dalam puncak prestasi rentetan daripada kejayaan diraihnya bersama Keen Ho sebelum ini.
Pemain snuker dari Butterworth, Pulau Pinang itu juga terharu dengan ucapan tahniah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi laman Facebook Istana Negara pada Sabtu.
"Saya juga mahu dedikasikan kejayaan di Turkiye kepada Malaysia kerana kita tidak pernah menang sebarang gelaran sebelum ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MBSF) Melvin Chia berharap kejayaan dilakar Kok Leong dapat membuka mata semua pihak terutama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara khususnya dalam membangunkan lagi sukan berkenaan pada masa hadapan.