MERAK Jalanan tarik nafas panjang apabila membaca berita dua tragedi jatuh bangunan yang terjadi selang lima jam sahaja pada 10 November lalu.
Kejadian pertama berlaku jam 7.30 pagi membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di Kedah.
Dia dipercayai jatuh dari tingkat empat bangunan sekolah ketika semua pelajar lain menghadiri perhimpunan sebelum masuk ke kelas.
Insiden kedua terjadi di Johor kira-kira jam 12.30 tengah hari. Seorang selebriti media sosial berusia 26 tahun maut selepas jatuh dari tingkat 22 bangunan pangsapuri.
Setakat ini polis klasifikasikan kedua-dua kes ini sebagai mati mengejut.
Merak Jalanan sedikit terganggu kerana sebelum itu Merak Jalanan baru menonton video viral yang memaparkan gelagat dua beradik bermain di koridor kecil di luar tingkap sebuah unit kondominium di Kuala Lumpur.
Si kakak berusia empat tahun siap berjoget manakala adiknya berusia dua tahun bermain-main di sisi.
Siapa yang tak kuat memang tak boleh tengok video ini. Sudahlah tiada jeriji, bayangkan kalau mereka terjatuh dari tingkat 17 itu!
Tidak kiralah sama ada jatuh bangunan akibat kemalangan atau memang ada niat untuk berbuat demikian, Merak Jalanan anggap kedua-duanya sebagai satu tragedi. Ia tak patut berlaku dan boleh dielak.
Kes seperti ini tak boleh dipandang ringan. Di Selangor sahaja, pihak bomba hampir setiap minggu menerima panggilan berhubung kes cubaan dan kejadian terjun bangunan dan sungai sejak 1 Januari lalu.
Antara puncanya adalah berkait masalah cinta, tekanan perasaan, masalah mental dan kewangan.
Oleh sebab kes di Kedah dan Johor tadi berlaku semasa kemuncak kempen PRU15, Merak Jalanan harap calon-calon bertanding ambil berat dan buatlah sesuatu kalau menang nanti. Sayangilah nyawa anak-anak kita.