PRU15: Sanggup keluar duit balik mengundi

Iklan
Tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada Ahad mendapati orang ramai membeli tiket pengangkutan awam bagi pulang ke kampung untuk menunaikan kewajipan sebagai warganegara yang bertanggungjawab pada PRU15, 19 November ini. - Foto Bernama

BANGI - Keterujaan mengundi buat kali pertama membuatkan mahasiswa sanggup membeli tiket untuk pulang ke kampung halaman.

Pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Busyra Abdullah, 21, berkata, biarpun terpaksa mengeluarkan duit perbelanjaan sebanyak RM100 bagi membeli tiket bas untuk perjalanan dua hala, namun dia reda demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Iklan
Iklan
Busyra

Katanya, jumlah harga tiket tersebut mungkin agak besar baginya sebagai seorang mahasiswa tetapi keterujaan mengundi membuatnya sanggup ‘pejam mata’ membeli tiket pulang ke Tanah Merah, Kelantan.

"Ini kali pertama saya mahu mengundi dan saya tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Iklan

"Duit sebanyak RM100 itu mungkin boleh digunakan oleh saya untuk membeli barangan keperluan dan makan selama hampir seminggu, namun dapat keluar mengundi adalah keutamaan saya.

"Demi memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini, saya sanggup membeli tiket untuk pulang mengundi di kampung halaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pelajar jurusan Pengajian Islam, Munirah Hashim, 21, pula berkata, dia sanggup membeli tiket bas berharga RM100 untuk perjalanan pergi dan balik ke Bachok, Kelantan demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Munirah

"Biarpun saya terpaksa berbelanja RM100 untuk membeli dua tiket (pergi dan balik), namun saya tidak kisah kerana peluang balik mengundi bukan selalu.

"Ini kali pertama saya mengundi. Saya tidak kisah untuk mengeluarkan duit biarpun jumlahnya agak besar bagi saya sebagai mahasiswa,” katanya.

Bagi Pelajar jurusan Sejarah, Wong Zhi Lin, 20, pula, dia tidak dapat pulang mengundi di kampung halamannya di Tawau, Sabah kerana kekangan kewangan untuk membeli tiket kapal terbang.

Zhi Lin

"Saya terlepas peluang mengundi buat kali pertama. Setelah berbincang dengan ibu dan ayah, saya memutuskan untuk tidak pulang mengundi kerana terpaksa membelanjakan sebanyak RM900 bagi membeli tiket pergi dan balik ke Sabah,” jelasnya.

Pelajar jurusan Komunikasi Media, Lai Mei Jin, 20, pula berkata, dia turut membuat keputusan tidak pulang ke Kuching, Sarawak biarpun bersemangat untuk mengundi buat kali pertama.

Mei Jin

Menurut Mei Jin, harga tiket yang agak mahal membuatnya tidak jadi untuk pulang mengundi.

"Saya rasa dengan harga tiket kapal terbang yang agak mahal, saya tidak dapat pulang mengundi.

"Duit yang ada mahu digunakan menampung keperluan sepanjang berada di universiti,” ujarnya.