SETIAP kali hujan, pasti ada antara rakyat Malaysia terutama yang tinggal di kawasan berisiko banjir, bimbang mengenangkan kemungkinan bencana itu akan berlaku.
Bukan sahaja menyebabkan kerosakan harta benda, malah boleh melibatkan nyawa apabila terperangkap dalam banjir.
Ketika ini, beberapa negeri di Malaysia mengalami hujan berterusan sehingga beberapa kawasan dinaiki air.
Di Lembah Klang pula, hujan dalam masa singkat sahaja sudah cukup menyebabkan berlakunya banjir kilat.
Ini menimbulkan kerisauan orang ramai kemungkinan tragedi banjir besar pada Disember tahun lalu berulang semula.
Sebelum ini pun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini.
Ini berikutan Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu menyebabkan risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar.
Berdasarkan data Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 2,269 orang setakat jam 8 pagi Ahad melibatkan negeri seperti Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Johor dan Kelantan.
Beberapa hari lepas, beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam turut dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ada antara penduduk sudah bersiap sedia sebarang kemungkinan seperti meletakkan barang-barang penting di tempat tinggi.
Bagi mereka yang pernah menghadapi insiden banjir tahun lepas, sudah pasti dapat merasai sendiri tekanan mental dan fizikal apabila banyak barang-barang rosak, lebih-lebih golongan B40.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), banjir yang melanda negara pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini mengakibatkan kerugian berjumlah RM6.1 bilion iaitu bersamaan 0.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.
Berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021 yang dikeluarkan itu, aset awam dan infrastruktur mengalami kerugian tertinggi iaitu sebanyak RM2 bilion, diikuti tempat kediaman (RM1.6 bilion) dan kenderaan (RM1.0 bilion).
Bagi tahun ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM16.4 juta bantuan bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 sebagai persediaan menghadapi banjir seluruh negara.
Peruntukan itu sudah tentu meningkatkan persediaan banjir kali ini dengan menambah baik logistik dan kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan pengurusan banjir dapat dilaksanakan dengan baik.
Bagaimanapun, menjadi persoalan kini ialah mengapa hujan dalam tempoh singkat pun boleh menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat di sesetengah kawasan?
Sebenarnya faktor ini bukan sekadar curahan hujan, namun apabila hujan lebat melanda di lokasi yang pesat membangun dan tidak mempunyai infrastruktur terancang seperti sistem saliran lemah, ia akan mudah menyebabkan kejadian banjir kilat.
Selain disebabkan faktor air pasang besar yang mengakibatkan paras air sungai meningkat, masalah sistem perparitan yang tidak diselenggarakan dengan baik juga antara faktor berlakunya banjir kilat.
Ini boleh dilihat apabila kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang pada Khamis lalu dikatakan berpunca daripada masalah longkang yang tersumbat.
Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu proaktif dan tidak perlu menunggu banjir untuk bertindak, sebaliknya sentiasa memantau dan melakukan pembersihan longkang di semua kawasan agar tidak tersumbat supaya masalah backlog aliran air yang menjadi punca kejadian banjir di beberapa tempat dapat diatasi.
Walaupun kerajaan Pusat dan kerajaan negeri masing-masing sudah melaksanakan pelbagai pelan mengatasi bencana banjir, namun jika tidak disusuli dengan tindakan, tidak mustahil kejadian banjir kilat akan berterusan, bahkan menjadi ‘acara tahunan’ di Malaysia.
Bagaimanapun, peranan orang ramai juga penting dalam memberi kerjasama serta menanamkan sikap bertanggungjawab untuk bersama-sama menjaga kebersihan, termasuk tidak membuang sampah di merata-rata terutama ke dalam sistem saliran bagi mengelakkan masalah longkang tersumbat.
Tidak ada guna sekiranya menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak apabila berlakunya banjir, sebaliknya kelemahan pengurusan bencana di seluruh negara perlu dijadikan iktibar agar dapat diperbetulkan bersama-sama.
* Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian