Anak muda GEGOR Bera jadi tumpuan

Iklan
Ismail Sabri bergambar kenangan bersama tetamu dan orang ramai yang hadir pada karnival di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera pada Sabtu.

BERA - Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pahang Cawangan Jengka antara pencari kerja yang tidak melepaskan peluang menyertai temu duga sempena Program Jamin Kerja di Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini pada Sabtu.

Penuntut semester akhir Diploma Pengurusan Pejabat, Siti Nur Nabihah Ali, 20, yang berasal dari Selangor itu datang dari Jengka bersama rakan-rakannya mencuba nasib mendapatkan pekerjaan sebaik tamat pengajian.

Iklan
Iklan
Siti Nur Nabihah

"Kami dapat tahu mengenai program ini menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan hadir mencari pekerjaan yang sesuai.

"Program sebegini dialu-alukan selain satu pengalaman menarik buat saya yang pertama kali menyertai temu duga terbuka,” kata Nabihah.

Iklan

Rakannya, Mohd Nabil Al-Qawiem Lokman, 20, yang berasal dari Temerloh memilih untuk menyertai temu duga sebuah syarikat makanan segera terkenal kerana meminati makanan yang ditawarkan oleh restoran tersebut.

"Ia juga pengalaman pertama saya menyertai program ini dan berharap percubaan berhasil untuk dapat pekerjaan idaman,” ujar Nabil.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir merasmikan karnival anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Miat Quadra Esport Club

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Ti Lian Ker; Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed; Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp), Datuk Shahul Hameed Dawood dan Pengerusi Miat Quadra, Mohammad Luqman Afiq Mohammad Faizal.

Bagi majikan yang terlibat, iaitu Agensi Rania Wealth tidak melepaskan peluang untuk mencari individu yang berminat menyertai agensi tersebut sebagai perunding unit amanah.

Pengurusnya, Nurul Hasnida Mohamed, 51, memaklumkan, program sebegitu bagus untuk mana-mana syarikat mencari pekerja yang sesuai.

Wakil sumber manusia dari KPS Dental Care Team Sdn Bhd, Sayang Noorika Omar, 28, turut memuji usaha penganjuran program seumpama itu kerana ia memudahkan syarikat mencari pekerja yang diperlukan.

Karnival yang melibatkan seramai 15 majikan menawarkan pelbagai jenis pekerjaan secara temu duga terbuka berjaya menarik kehadiran lebih 2,000 belia dari Bera dan kawasan sekitarnya.

Selain itu, aksi pemain e-sukan turut menjadi tumpuan penggemar permainan elektronik itu dengan penyertaan 190 peserta dari 38 buah pasukan yang berentap dalam acara tersebut.

Acara yang julung kali dianjurkan di Parlimen Bera itu menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM25,000, cabutan bertuah bernilai hingga RM3,000 serta peluang memenangi telefon pintar.

Penampilan istimewa iaitu juara Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim ke-10, Team Haq Esports Club yang menduduki ranking ke-4 dunia menjadi tarikan buat penggemar dan pemain e-sukan di negeri ini.

Pasukan tersebut akan mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 pada tahun hadapan di Jakarta, Indonesia.

Bagi dua sahabat, Puteri Wahyu Aztemah Suyitno dan Nik Nur Atirah Nik Saimi masing-masing berusia 18 tahun, teruja dan tidak melepaskan peluang melihat pasukan negara itu secara dekat.

Puteri Wahyu

"Kami datang nak tengok pemain Team Haq khususnya Garyy, selama ini dalam laman sosial sahaja, sekarang boleh tengok depan mata,” tambah mereka.

Karnival turut dimeriahkan dengan penampilan penyerang terbaik Asia Tenggara dan legenda bola sepak tanah air, Safee Sali selain konsert yang menghimpunkan artis terkenal seperti Amy Search, Anna Jobling dan ramai lagi bermula jam 8.30 malam.

Nik Nur Atirah

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya berharap karnival tersebut dapat dijadikan acara tahunan dan menjadi platform kepada belia khususnya di Bera untuk menerokai peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi mereka.

Dalam pada itu, Subahan memaklumkan, Perkeso telah menganjurkan pelbagai bengkel dan kursus kebolehpasaran termasuklah asas komunikasi, pembentukan sahsiah diri, persediaan menghadapi temu duga dan latihan industri serta pendedahan kepada ekonomi gig dan freelancing.

Ismail Sabri (kanan) bermesra bersama pemain e-sukan yang berentap dalam acara tersebut pada Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera.

"Sehingga kini, sebanyak 433 sesi program kebolehpasaran secara dalam talian dan bersemuka telah diadakan, khas untuk pencari kerja tempatan.

"Bagi memudahkan lagi rakyat Malaysia mencari pekerjaan, Perkeso juga menyediakan premis percuma di semua pejabat kami sebagai tempat majikan menemuduga calon pekerja yang hadir secara walk-in.

"Temu duga terbuka ini diadakan setiap minggu di semua pejabat Perkeso di seluruh negara. Di samping itu, kami juga mengadakan temuduga setiap hari di beberapa pejabat utama kami seperti di Putrajaya,” katanya.