BERBAKI kurang seminggu sahaja lagi, rakyat Malaysia akan mengharungi 'hari besar', iaitu memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Meskipun masa yang ada semakin singkat, namun masih ramai pengundi yang layak belum membuat keputusan mutlak untuk memilih siapa.
Ada yang mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' dalam meneliti calon-calon ditampilkan setiap parti yang bertanding.
Ia bukanlah perkara mudah kerana pengundi kini sememangnya menitikberatkan kualiti calon berbanding faktor parti semata-mata.
Pengarah Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, dalam tempoh terdekat ini, mana-mana bakal wakil rakyat masih berupaya untuk memenangi pengundi bagi meraih sebuah undi.
Pada masa sama, menerusi satu analisis yang dilakukan oleh satu pusat penyelidikan, Endeavour-MGC mendapati bahawa Pakatan Harapan (PH) bakal memenangi sebanyak 67 ke 82 kerusi pada PRU15 ini.
Sementara itu, BN dijangka meraih 58 ke 73 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula sebanyak 10 ke 40 kerusi.
Setakat Ahad, jumlah mangsa banjir di seluruh negara meningkat kepada 2,373 orang berbanding 1,359 dalam tempoh 24 jam di enam negeri membabitkan Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Johor dan Melaka.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan di laman Facebooknya berkata, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi seramai 1,468 mangsa, diikuti Selangor (393), Johor (306), Perak (108), Pulau Pinang (54) dan Melaka (44).
Kerosakan harta benda dan terpaksa berkampung di pusat pemindahan sementara (PPS) antara dugaan yang terpaksa ditempuh oleh mangsa yang terlibat.
Banyak beban yang harus ditanggung dan tekanan mental bukanlah perkara yang mustahil pada masa ini.
Pihak yang sebelum ini cukup suka 'meratib' supaya PRU15 disegerakan harus berfikir kembali adakah tindakan tersebut tepat.
Mood rakyat terutamanya yang dilanda musibah banjir pada ketika ini boleh sahaja berubah disebabkan beban tersebut.