PRU15: Anwar pernah tawar saya jadi TPM - Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin

IPOH - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pernah ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurutnya, ketika itu Anwar percaya bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara kepadanya.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, malangnya perkara itu terjadi sebaliknya apabila dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu selepas bergaduh dengan Mahathir.

"Kemudian dia (Anwar) datang melawat saya di pejabat ketika saya sebagai Perdana Menteri. Saya beritahu dia, saya cakap minta maaf Anwar, saya kini Perdana Menteri.

"Kamu selamanya tak akan jadi Perdana Menteri selagi berkawan dengan DAP kerana orang Melayu akan tolak kamu," katanya ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST Parlimen Tambun PN di Bandar Meru Raya, di sini pada malam Ahad.

Iklan

Turut berucap pada program tersebut ialah Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Pengerusi Gerakan Perak, Datuk See Tean Seng.

Beliau berkata, sehingga kini Anwar masih bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan berharap akan menang bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Mengakui Anwar sebagai rakannya, Muhyiddin turut yakin Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu akan berdepan kesukaran menjadi Perdana Menteri kerana lebih 20 tahun meninggalkan kerajaan.

"Kalau 20 tahun sudah meninggalkan pentadbiran kerajaan, nak kembali untuk duduk sebagai Perdana Menteri, saya fikir agak sukar kerana memahami dasar dan tindakan. Saya faham itu.

"Kalau tak ada pengalaman yang tertentu untuk menguruskan negara kita berhadapan dengan risiko yang besar. Kalau-kalau dengan keadaan sebegitu, masalah utama rakyat tak mungkin selesai dalam tempoh secepat yang rakyat mahu," katanya.