KEMENANGAN dramatik dalam tangisan pelumba Mercedes, George Russell yang mengungguli Formula Satu (F1) buat kali pertama pada Grand Prix (GP) Sao Paulo, Brazil.
Lebih manis pemandu berusia 24 tahun itu diekori rapat rakan sepasukan, Lewis Hamilton untuk kemenangan satu dua buat Mercedes.
Pelumba dari England itu menamatkan saingan 1.529 saat di hadapan Hamilton.
Ia juga adalah kemenangan sulung Mercedes musim ini selepas sembilan kemenangan berturut-turut dirangkul juara baharu, Red Bull.
"Ini baru permulaan," jerit Russell menerusi radio pasukan selepas dia diumumkan sebagai pemenang yang ke-113 dalam sejarah sukan itu.
"Saya tahu kami boleh melakukannya. Saya mungkin perlukan tisu, saya menangis," ujar Russell.
Pemandu Ferrari, Carlos Sainz pula menamatkan saingan di kedudukan ketiga, meninggalkan rakan sepasukan Charles Leclerc di tempat keempat.
Hamilton yang memegang rekod dengan kemenangan 103 perlumbaan dan muncul juara tiga kali di Brazil, mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukannya.
"Dia cemerlang di pusingan kelayakan, jadi dia memang berhak menang hari ini. Ini adalah keputusan yang menakjubkan," ujar pemandu berusia 37 tahun itu.
Ia adalah kali pertama sejak kejuaraan bermula pada 1950 apabila lagu kebangsaan Britain, 'God Save the King' berkumandang di podium majlis penyampaian hadiah F1.
Perlumbaan GP kedua terakhir musim ini menyaksikan kereta keselamatan terpaksa tampil dua kali apabila Hamilton yang baru dianugerah warganegara kehormat Brazil berlaga dengan juara dunia dua kali dari Red Bull, Max Verstappen.