KUALA LUMPUR - Pembukaan semula operasi 16 stesen di laluan LRT Kelana Jaya pada Isnin memberi kelegaan kepada pengguna tetap perkhidmatan tersebut yang berhadapan dengan pelbagai kesukaran ekoran penggantungan operasinya.
Penganalisis perniagaan, Nur Liyana Mohd Nizam, 26, berkata, dia gembira kerana tidak perlu lagi untuk berjalan sejauh 3 kilometer (km) daripada stesen pengangkutan alternatif terdekat dengan pejabatnya di Kuala Lumpur.
"Jika jalan dari MRT Bukit Bintang ke ofis hampir 3km, tapi kalau jalan dari KLCC ke pejabat hanya 500 meter(m) sahaja," ujarnya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, penyelaras jualan, Leong Ting Sen, 22, berkata, dengan pembukaan semula operasi perkhidmatan tren itu, dia tidak lagi perlu menggunakan beberapa jenis pengangkutan awam untuk ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.
"Masa laluan ini ditutup, dari Damansara saya MRT untuk ke Bukit Bintang dan dari situ saya naik Monorel ke Bukit Nanas untuk pergi KLCC.
"Kalau naik LRT hanya 30 minit dan tidak perlu tukar. Tapi Kalau MRT, walaupun pantas, tapi langkah perlu diambil masa diperlukan untuk sampai ke tempat kerja pun sampai sejam," ujarnya.
Bagi Eksekutif pematuhan perdagangan, Nabila Hazri, 31, pula, dia sangat gembira kerana tidak lagi perlu menempuh perjalanan selama dua jam dari Damansara ke pejabatnya yang terletak Jalan Kerinchi, di sini.
"Ini sangat jauh berbeza dengan perjalanan menggunakan LRT iaitu hanya sekitar 30 minit," ujarnya.
Bagi pengurus, Satesh Balachanthar, 31, dia berasa lega dengan pengoperasian semula stesen di laluan berkenaan kerana tidak lagi perlu menggunakan perkhidmatan e-hailing yang menelan belanja berkali ganda lebih tinggi berbanding perkhidmatan LRT.
"Masa operasi digantung, saya menggunakan perkhidmatan e-hailing sebab tidak berapa fasih dengan bas sebab perlu bertukar-tukar.
"Jadi kosnya hampir RM30 untuk sekali perjalan. Ini berbeza dengan perkhidmatan LRT yang sangat berpatutan dengan penyediaan pas bulanan," katanya.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa stesen di laluan berkenaan pada Isnin mendapati operasi perkhidmatan LRT itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesesakan luar biasa.
Kadar kekerapan tren pada waktu kemuncak yang bermula 6 hingga 9 pagi juga adalah setiap lima minit.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada Ahad memaklumkan pemulihan operasi perkhidmatan LRT laluan Stesen Ampang Park hingga Stesen Kelana Jaya yang digantung operasinya pada Rabu berjaya dilaksanakan dua hari lebih awal daripada jangkaan.
Operasi perkhidmatan tren berkenaan berhadapan dengan masalah sejak Sabtu lalu ekoran gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC).