SABAK BERNAM - Seorang pembantu penyelia sebuah kedai perkakas yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya menemui ajal apabila kereta dipandu terbabas dan terbalik di Kilometer 60, Jalan Teluk Intan-Klang, berhampiran Batu 23, Sungai Nibong, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa, Nur Yusrah Othman, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa dari arah Sekinchan menuju ke rumahnya di Parit Satu, Sungai Panjang.
"Tiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal Perodua Axia dipandunya lalu melanggar pembahagi jalan plastik sebelum terbalik.
"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan maut disebabkan kecederaan yang dialami," katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian, permukaan jalan tidak rata dan keadaan gelap kerana ketiadaan lampu selain hanya dua daripada empat lorong dibuka untuk kenderaan susulan kerja pembinaan.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.