KUANTAN - Seramai 21,164 pengundi awal di negeri ini akan mengundi di 50 pusat mengundi awal melibatkan 70 saluran yang dibuka pada Rabu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, 6,137 daripadanya melibatkan pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Pahang serta 15,024 warga tentera di negeri ini.
Menurutnya, sebanyak enam pusat pengundian awal melibatkan 10 saluran dibuka di Kuantan dan salah satunya di Dewan Badminton Kompleks Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar melibatkan 1,560 pengundi.
"Saya difahamkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melakukan persiapan rapi bagi melancarkan dan memudahkan para pengundi awal melaksanakan proses mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persiapan di Dewan Badminton Kompleks PDRM Alor Akar pada Isnin.
Turut hadir Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kuantan, Datuk Rose Samsul Abdul Razak dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.
Ramli berkata, beliau menjangkakan semua pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab itu esok.
"Bagi anggota yang sakit, kita akan ambil langkah sewajarnya bagi membolehkan mereka hadir mengundi," jelas beliau.