MBOT iktiraf 70 program kolej komuniti

Iklan
Gambar hiasan. - 123 RF, tangkap layar kenyataan MBOT pada Isnin.

SHAH ALAM - Sebanyak 70 program akademik yang ditawarkan oleh 50 kolej komuniti seluruh negara kini mendapat pengiktirafan Akreditasi Penuh daripada Majlis Akreditasi Teknologi dan Teknikal (TTAC), Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT).

MBOT dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, kesemua program tersebut merupakan Sijil Tahap Tiga Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

Iklan
Iklan

Menurutnya, program-program tersebut merangkumi enam daripada 24 bidang yang diiktiraf oleh MBOT iaitu Teknologi Automotif, Teknologi Elektrik dan Elektronik, Teknologi Pembinaan, Teknologi Makanan, Teknologi Berasaskan Pertanian serta Teknologi Pembuatan dan Industri.

"Akreditasi Penuh merupakan perakuan rasmi kepada Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) bahawa sijil, diploma atau ijazah yang akan dianugerahkan kepada graduan selaras dengan standard yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.

Iklan

Dalam kenyataan sama, MBOT berkata, kolej komuniti berjaya menempa sejarah apabila buat julung kalinya mendapat pengiktirafan Akreditasi Penuh daripada badan profesional seperti MBOT.

Ujarnya, pengiktirafan itu merupakan petunjuk penting bahawa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti kolej komuniti mempunyai standard yang tinggi.

Iklan

"Ini termasuk dalam aspek pengajaran, kualiti tenaga pengajar, metodologi dan sumber pengajaran.

"Dengan ini, MBOT yakin kolej-kolej komuniti akan berjaya menghasilkan juruteknik pakar yang bersedia untuk berkhidmat dalam industri dan memanfaatkan kesemua pemegang taruh utama dalam program TVET.

"Pengiktirafan ini turut melayakkan graduan-graduan daripada 70 program tersebut untuk mendaftar sebagai juruteknik berkelayakan di bawah MBOT secara automatik sejurus tamat pengajian,” jelasnya.

Tambahnya, pengiktirafan Akreditasi Penuh program-program bersifat teknikal itu juga bakal menyaksikan lebih 11,000 graduan teknikal berpotensi untuk diiktiraf sebagai profesional untuk menjadi pakar industri sebagai Juruteknik Bertauliah (Tc.).

MBOT pada masa sama turut menyatakan keyakinan bahawa usaha tersebut akan membantu usaha kerajaan yang mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkasakan program TVET, sekali gus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap TVET sebagai salah satu platform pendidikan serta sumber sara hidup yang penting.

Sehingga kini, tambahnya, TTAC MBOT telah mengakreditasi 805 program akademik merangkumi Sijil Tahap Tiga, diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda di pelbagai pusat pengajian iaitu universiti awam, swasta dan TVET.

"MBOT akan terus memantau proses pengajaran dan pembelajaran di bawah program TVET bagi memastikan pengiktirafan yang diberikan ini dipertahankan kualiti sepanjang masa. MBOT juga meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah kolej komuniti yang menerima Akreditasi Penuh,” tambah MBOT.