DUNGUN - Masalah banjir kilat dan air bertakung menyukarkan penduduk di kawasan Rumah awam kos rendah (Rakr) Gong Pasir, di sini setiap kali berlakunya hujan lebat.
Masalah berkenaan bertambah rumit setiap kali musim tengkujuh tiba dan ia sudah berlarutan sejak empat tahun lalu selepas wujudnya projek perumahan baharu di kawasan berhampiran menyebabkan sistem saliran dan perparitan terganggu.
Wakil penduduk, Amran Mahmud, 66 berkata, mereka berharap masalah tersebut akan diberi perhatian sewajarnya oleh pemimpin sebaik sahaja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, aduan sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil sedangkan projek tebatan banjir yang sebelum ini dijalankan oleh pemimpin terdahulu sudah hampir siap tetapi tergendala kerana pertukaran kuasa.
"Boleh katakan banjir kilat kerana dalam tempoh dua jam sahaja air sudah mula bertakung.
"Kita berharap pemimpin yang dipilih dalam PRU15 nanti akan mengambil serius masalah ini dan kalau boleh kemenangan berpihak kepada yang selayaknya," ujarnya.
Air di bawah rumah penduduk yang bertakung menimbulkan masalah bau busuk dan menjadi paya.