PM Australia tegaskan tiada layanan istimewa buat Assange

Iklan
Pengasas WikiLeaks Julian Assange berucap dari balkoni kedutaan Ecuador di London pada 19 Mei 2017. - Foto AFP

SYDNEY - AUSTRALIA. Pengasas WikiLeaks yang juga warganegara Australia Julian Assange tidak akan menerima layanan istimewa ekoran penahanannya di Britain semalam, kata Perdana Menteri Scott Morrison.

Persembunyian tujuh tahun Assange di kedutaan Ecuador di London berakhir penuh dramatik apabila sepasukan polis Britain menarik keluar lelaki itu dari bangunan kedutaan sebelum dibawa pergi oleh van polis yang sedia menunggu.

Iklan
Iklan

Assange didapati bersalah oleh mahkamah Britain atas tuduhan melanggar syarat ikat jamin pada 2012 dan berdepan hukuman penjara setahun.

Namun pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kini menuntut ekstradisi terhadap Assange berikutan tuduhan kerjasamanya dengan bekas penganalisa perisikan Chelsea Manning pada 2010, yang mana kes tersebut akan didengar pada 2 Mei depan.

Iklan

Morrison berkata, Assange akan menerima sokongan yang sama seperti yang diterima mana-mana warganegara Australia yang berdepan masalah di luar negara dan urusan ekstradisi adalah urusan AS.

"Perkara tersebut (ekstradisi) tidak berkaitan dengan Australia, ia berkaitan dengan AS.

Iklan

"Terdapat proses perundangan yang perlu dipatuhi dan Assange akan menerima sokongan konsular yang sama seperti warganegara Australia lain yang berdepan situasi sama," kata Morrison.

Sementara itu, pencabar Morrison dalam pilihan raya umum 18 Mei depan yang dianggap calon pilihan menjadi perdana menteri Australia seterusnya, Bill Shorten enggan memberi komen lanjut berhubung kes Assange. - AFP