SABAK BERNAM - [DIKEMAS KINI] Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri mahu mendedahkan pelbagai isu dihadapi rakyat Parlimen Port Dickson menerusi ceramah mega bermula malam Isnin.
Ahmad Idham berkata, tempoh lima hari terakhir baki kempen akan digunakan sebaiknya bagi membangkitkan dan menerangkan pelbagai isu rakyat.
Jelas pelakon dan pengarah filem itu, antara isu dibangkitkan tentang keadaan Port Dickson yang dilihat seperti 'tepu' sama ada dari segi infrastruktur, fasiliti dan ekonomi penduduk.
"Kenapa perkara itu berlaku dan punca utamanya akan saya bongkar kepada rakyat nanti," katanya pada sidang akhbar di Pekan Sabak di sini pada Isnin.
Ketua Penerangan GTA Negeri Sembilan itu memaklumkan, penduduk di Port Dickson meluahkan rasa kecewa terhadap masalah rakyat yang tiada kesudahan.
"Soal terbesar adalah mengenai kepercayaan mereka yang seolah-olah dikhianati dan dipinggirkan.
"Rakyat tidak mahu pihak yang hanya menabur janji bulan dan bintang namun gagal melaksanakannya," ujar beliau.
Ahmad Idham memberitahu, Port Dickson sememangnya sudah bersedia ke arah perubahan terutama faktor pembangunan yang lebih holistik.
Kata beliau, Parlimen itu mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara lebih serius terutama eko pelancongan.
Justeru, tegas beliau, proses semak dan imbang perlu antara kerajaan negeri dan Ahli Parlimen dalam memastikan pentadbiran yang lebih tersusun.
Selain, itu katanya, isu hub pendidikan khas, kebajikan rakyat dan infrastruktur awam menjadi fokus utama sekiranya memenangi kerusi terbabit.
Pada PRU15, Ahmad Idham berdepan cabaran apabila berdepan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan Datuk P Kamalanathan dari BN.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi kerusi itu menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) 2018 dengan majoriti 23,560 undi.
Sementara itu, Calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Sabak Bernam, Datuk Seri Eizlan Yusof pula berhasrat menyelesaikan beberapa isu rakyat di Parlimen itu jika menang pada PRU15.
Menurut Eizlan, beberapa isu dikenal pasti membelenggu penduduk setempat antaranya melibatkan kelemahan jaringan komunikasi jalur lebar dan talian telefon selain kerosakan jalan.
Jelas beliau, liputan jalur lebar amat teruk di Parlimen itu meskipun kerajaan sudah mula melaksanakan rangkaian 5G.
"Sepatutnya di Sabak Bernam tiada masalah liputan internet lebih-lebih lagi apabila kerajaan ketika ini sedang menaik taraf daripada rangkaian 4G kepada 5G, namun perkembangan rangkaian liputan internet di sini amat menyedihkan kepada penduduk dan ia seolah menidakkan rakyat mendapatkan ruang digital," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pekan Sabak di sini pada Isnin. Eizlan yang juga pelakon dan pengarah berkata, isu Infrastruktur jalan juga antara masalah utama membelenggu penduduk di Parlimen Sabak Bernam.
Eizlan yang juga Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan berkata, jika memenangi PRU15 beliau ingin menubuhkan Jawatankuasa Komuniti Parlimen yang disertai penduduk bagi mengenal pasti isu setempat.
"Saya berasal daripada keluarga susah dan amat memahami masalah rakyat terutama golongan B40.
"Justeru, penubuhan jawatankuasa di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku," ujar beliau.
Pada PRU15, Eizlan berdepan saingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menentang calon BN, Datuk Abd Rahman Bakri; Kalam Sahlan (PN) dan Shamsul Ma'arif Ismail (PH).
Pada PRU14 lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang mewakili BN namun bertindak keluar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia.