TEMERLOH - Lebih 1,500 penduduk di Taman Mentakab Indah di sini resah terpaksa berdepan banjir kilat apabila hujan berterusan lebih dua jam.
Masalah tersebut didakwa membelenggu mereka sejak 30 tahun lalu dan terbaharu pada 6 November lalu, banjir kilat melanda di sebahagian lorong taman terbabit selepas hujan bermula jam 6.30 petang.
Dalam kejadian tersebut, 81 buah rumah terjejas menyebabkan penduduk terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) berhampiran sebelum banjir surut kira-kira jam 3 pagi.
Situasi dihadapi menyebabkan ada sebahagian penduduk menjual rumah mereka dan penyewa keluar dari taman tersebut kerana tidak sanggup menanggung kerugian.
Dua kali banjir besar pada 2021 juga menyebabkan ada rumah terbiar, tidak dibaiki dan masih terdapat kesan banjir khususnya di fasa baharu taman itu.
Difahamkan masalah tersebut berlaku berikutan taman itu dibina di bawah paras sungai serta benteng sedia ada tidak mampu lagi menampung kapasiti air.
Pemandu lori, Mohd Zainal Ibrahim, 46, mengharapkan langkah drastik dapat diambil untuk membantu penduduk yang terjejas.
"Ada idea untuk penduduk dipindahkan dan secara peribadi saya sedia untuk berpindah ke lokasi baharu tapi dengan syarat-syarat tertentu kerana sampai bila nak berdepan banjir.
Seorang warga emas, Zahrah Nayan, 63, juga mengakui sedia untuk dipindahkan jika kerajaan ada menawarkan lokasi lain yang selamat dan sesuai.
"Cuma kena fikirkan kos, kalau tidak membebankan saya sedia untuk ke lokasi baharu," tambah Zahrah lagi.
Dalam pada itu, seorang pesara, Supian Sulaiman, 44, mengakui dalam keadaan dilema berikutan masih banyak jumlah pinjaman bank yang perlu diselesaikan kerana baru beberapa tahun membeli rumah di fasa baharu di taman tersebut.
"Saya beli rumah ini pada 2012 dan tinggal di sini pada 2018, dua tahun kemudian berdepan banjir hingga paras dada sebelum banjir besar pada 2021.
"Tak sangka kerana ingatkan kawasan ini bebas banjir, banyak rumah terbiar selepas banjir besar akibat ditinggalkan pemilik," katanya.