Enam sampel jeli dikesan tak patuhi peraturan makanan

Iklan
Kenyataan media KKM berkenaan isu tular melalui media sosial berkaitan produk konjak jeli. Gambar hiasan - Foto 123RF

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa memantau produk jeli di pasaran tempatan secara berterusan.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Norrani Eksan berkata, pihaknya mengambil maklum isu tular melalui media sosial berkaitan produk konjak jeli yang didakwa berbahaya dan boleh memberi risiko kepada kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Katanya, isu ini telah menjadi perhatian sejak tahun 2001 apabila terdapat laporan penjualan konjak jeli yang mempunyai risiko tercekik pada kanak-kanak.

"Berdasarkan data pemantauan dari tahun 2018 hingga kini, sebanyak 649 produk jeli telah disampel dan 352 daripadanya adalah produk konjak jeli.

Iklan

"Enam sampel produk jeli dikesan tidak mematuhi peraturan makanan 139A dan telah dikenakan tindakan penarikan balik produk oleh KKM," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, Peraturan 139 adalah jeli dengan diameter melebihi 45 milimeter (mm) dan ia boleh mengandungi konjak.

Iklan

Manakala Peraturan 139A adalah jeli dengan diameter kurang atau sama dengan 45 mm dan ia tidak boleh mengandungi konjak.

Selain itu, Norrani menambah, label produk bagi kategori 139A juga hendaklah mengandungi pernyataan 'Amaran: Boleh Menyebabkan Risiko Tercekik dan perkataan 'Tidak Sesuai Bagi Kanak-Kanak Di Bawah Umur Tiga Tahun'.

Katanya, ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pengambilan produk konjak jeli oleh anak-anak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

"KKM juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan konjak jeli ke Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, melalui laman sesawang aduan awam KKM http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq," ujarnya.