[VIDEO] PRU15: Pemimpin wanita efisien perangi rasuah - Fadhlina

Iklan
Fadhlina

SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek berpandangan golongan wanita merupakan pemimpin paling sesuai dan efisien untuk memerangi gejala rasuah.

Beliau yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakayat (PKR) berkata, golongan itu mempunyai kompetensi tinggi dalam mengurus tadbir serta lebih berintegriti dalam kepimpinan.

Iklan
Iklan

"Komitmen saya adalah untuk memastikan negara ini bersih daripada rasuah dan pemimpin wanita adalah pemimpin yang paling sesuai, efisien serta tinggi kompetensi untuk memerangi rasuah

"Rasulullah SAW menegaskan berkaitan orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah. Jauhi rasuah dan negara ini akan bersih, selamat daripada mereka yang lakukan korupsi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu Fadhlina yang juga calon muka baharu yang ditonjolkan PH pada PRU15 kali ini bertekad untuk memastikan segala urus tadbir berlaku dengan amanah sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

"Sekiranya saya terpilih sebagai wakil rakyat di Parlimen Nibong Tebal, saya beraku janji untuk memastikan saya bebas rasuah, tinggi integriti dan cekap dengan memastikan segala urus tadbir berlaku dengan amanah, cekap dan bersih," tegasnya.

Iklan

Fadhlina berdepan pertandingan empat penjuru bagi menawan Nibong Tebal dengan kerusi itu sebelum ini menjadi kubu kuat bekas ahli PKR, Datuk Mansor Othman yang kini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Pada PRU14, Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket PH memperoleh 35,395 undi menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi, manakala Mohd Helmi Harun (Pas) dan Tan Tee Beng (Bebas) masing-masing dengan 6,875 dan 331 undi.