SHAH ALAM - Seramai 265,531 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera akan menjadi kumpulan pertama membuang undi pada Piliharan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada hari esok (Selasa).
Berdasarkan jumlah tersebut, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan dan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada Ahad berkata, anggota ATM dan pasangan akan mengundi pasa Selasa ini di 153 pusat pengundian yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut beliau, bagi proses pengundiani anggota yang didaftarkan sebagai Pengundi Pos pula telah bermula 7 November lalu sehingga 19 November sebelum jam 5 petang setelah menerima Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos (SKKUP) yang dikeluarkan Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya.
"ATM juga sentiasa menyokong proses dan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
"Atas kesetiaan kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara,” ujarnya.
PRU15 menyaksikan seramai 21,173,638 orang pemilih berdaftar dijangka akan keluar mengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 yang dikemas kini sehingga 9 Oktober lalu.
DPPR bagi PRU15 ini terdiri daripada 20,905,366 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis serta pasangan PGA dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.