Keputusan PRK DUN Rantau sebelum jam 10 malam esok

Iklan
Azhar Azizan (kiri) ketika hadir meninjau persiapan PRK DUN Rantau di SJK (C) Bandar Sri Sendayan hari ini.

SEREMBAN - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan PRK DUN Rantau akan diketahui sebelum jam 10 malam esok.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kelancaran proses pengiraan undi bagi dua PRK terdahulu.

Iklan
Iklan

"Seperti biasa keputusan mungkin dapat diketahui pada atau sebelum jam 10 malam esok.

"Mungkin juga sedikit awal seperti mana PRK Cameron Highlands dan Semenyih sebelum ini," katanya pada sidang media ketika hadir membuat semakan isi peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada ketua tempat mengundi di Dewan Serbaguna SJK (C) Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Iklan

Ditanya mengenai perjalanan kempen, Azhar Azizan mengakui berpuas hati kerana tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, pihaknya mengingatkan semua jentera parti tidak membuat tindakan yang boleh mencetuskan provokasi pada hari mengundi esok.

Iklan

"Perayu-perayu undi yang datang ke kawasan pusat mengundi dinasihatkan untuk tidak membuat tindakan yang melanggar undang-undang.

"SPR pandang serius perkara ini kerana kita mahu semua pengundi dapat menunaikan tanggungjawab dengan selamat dan selesa," katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Persaingan PRK ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, PH Dr S Streram serta dua calon Bebas, R Malar dan Mohd Nor Yassin.

Demografi Rantau menunjukkan pengundi Melayu mempunyai 53 peratus, India 27 peratus, Cina 19 peratus dan lain-lain 1 peratus meliputi 14 pusat daerah mengundi (PDM).