BN berisiko kehilangan Perlis kerana tiada lagi istilah ‘kerusi deposit tetap’ di negeri itu selepas Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan Shahidan bertanding atas tiket seteru politiknya selama 35 tahun, Pas bagi membolehkan beliau kekal bertanding pada PRU15 sudah pasti mengejutkan banyak pihak terutama dalam kalangan pemimpin BN sendiri.
Walaupun BN merasakan gabungan itu cukup kuat untuk menghadapi sebarang serangan balas daripada tindakan menggugurkan Shahidan, kemungkinan UMNO Perlis tersilap membaca situasi itu.
Shahidan yang pertama kali bertanding kerusi Parlimen Arau pada usia 35 tahun kini diangkat sebagai ‘panglima perang’ kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengatur strategi serta menggempur negeri Perlis.
Aura Shahidan sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada PN sekali gus meningkatkan keyakinan gabungan tersebut untuk merampas Perlis daripada BN pada PRU15.
Di Arau, pengaruh kuat Shahidan tidak boleh disangkal lagi sekaligus membuatkan peluang BN di kawasan Parlimen itu menjadi sukar. Shahidan yang sudah lapan penggal menjadi wakil rakyat dikatakan sudah cukup sebati dengan penduduk setempat dan rakyat Perlis.
Bagaimanapun, keupayaan BN untuk mengekalkan kemenangan di Parlimen Arau tidak boleh dipandang sepi kerana wujud sentimen dalam kalangan penduduk terutamanya golongan muda yang mahukan pembaharuan kerana sudah muak dengan permainan politik Shahidan.
Tidak mustahil juga, pengundi terutama orang muda yang memangkah Pakatan Harapan (PH) pada PRU lepas akan berbalik mengundi BN dan memilih tokoh korporat, Datuk Rozabil Abdul Rahman berbading Shahidan.
Ketika peluang masih terbuka ini, Rozabil atau lebih dikenali sebagai Tok Ben perlu memecut habis-habisan dalam mendekati pengundi secara keseluruhan jika ingin mengalahkan Shahidan dikubu kuatnya sendiri.
Seorang lagi calon dari PH, Fathin Amelina Fazlie meskipun dilihat aktif mendekati pengundi selain mempunyai penampilan serta pendidikan yang baik khususnya dalam menarik sokongan anak muda, namun peluang beliau dilihat sukar kerana berdepan pemimpin ‘otai’ Perlis itu.
Berbeza di Kerusi Parlimen Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dilihat menjadi satu-satunya calon BN yang dilihat selamat untuk membantu parti kembali merampas Parlimen tersebut yang jatuh ke tangan PH pada PRU14.
Fathul Bari yang sudah lima tahun bekerja dan sentiasa turun padang mendekati rakyat di kawasan tersebut memudahkan beliau sepanjang dua minggu tempoh kempen kerana sudah dikenali penduduk.
Malah gerak kerja yang cukup tersusun sama ada di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), jentera termasuk media-media sosial yang cukup kreatif sepanjang tempoh kempen dalam mendekati pengundi juga memberi kelebihan kepada beliau.
Penyandang, Noor Amin Ahmad dari PH berdepan laluan sukar kali ini memandangkan calon yang diketengahkan BN itu antara pemimpin muda UMNO yang cukup berpotensi dan disenangi rakyat.
Di Padang Besar, peluang Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan untuk membantu BN mengekalkan kemenangan di Parlimen Padang Besar masih goyah malah gerak kempen beliau yang hanya dibantu jentera berikutan beliau masih dalam edah serba sedikit menyukarkan laluan parti itu.
Daripada keseluruhan 15 kerusi DUN di negeri ini, 11 kerusi menyaksikan calon yang menang sama ada daripada BN, Pas (kini PN) dan Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti tidak lebih daripada 1,000 undi.
BN masih yakin mampu mengekalkan penguasaan di Perlis pada PRU15 namun PN dan PH juga melaungkan amaran awal untuk merampas negeri itu.
Dengan tempoh kempen masih berbaki empat hari, persaingan antara BN, PN dan PH masih seimbang untuk merebut peluang membentuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun dijangka tiada parti yang akan mendapat mendapat majoriti mudah sekali gus memungkinkan pembentukkan kerajaan campuran di Perlis.
Persaingan di Perlis dalam PRU15 sudah pastinya menarik perhatian sama ada BN mampu kekal menguasai kerajaan negeri atau akan ada gabungan baharu mencipta sejarah merampas negeri itu buat pertama kali.