KUALA LUMPUR - Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bermula secara rasmi pada jam 8 pagi Selasa, melibatkan sejumlah 224,828 pengundi awal.
Daripada jumlah itu, 117,473 orang adalah anggota tentera dan pasangan, manakala 107,355 lagi adalah polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.
Berdasarkan warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Oktober 2022 yang dimuat naik di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang.
Untuk itu, SPR dalam kenyataan pada Isnin menasihatkan pengundi agar membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
SPR turut menyarankan pengundi awal yang positif Covid-19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal masing-masing.
Proses pengundian awal turut disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding, selain disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal terpilih.
Kertas undi awal tidak akan dikira hari ini dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat.
Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada hari pengundian 19 Nov, bermula pukul 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon.
PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).
PRK DUN Bugaya pula diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid19.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 November lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 November. - Bernama